Tiga individu ditahan atas kesalahan memandu kenderaan dalam pengaruh alkohol dalam Ops Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di jalan utama kawasan ibu negara tengah malam tadi oleh polis.

KUALA LUMPUR- Tiga lelaki tempatan telah ditahan atas kesalahan memandu kereta di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di beberapa laluan utama sekitar ibu negara malam tadi.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 30 hingga 45 tahun itu ditahan semasa pemeriksaan polis di Jalan Kuchai Lama selepas didapati memandu kenderaan dalam keadaan mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, ketiga-tiga tangkapan itu dibawa balik ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar, di sini, untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas mereka mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemuanya akan dituduh mengikut seksyen yang sama dan sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Tiga individu ditahan atas kesalahan memandu kenderaan dalam pengaruh alkohol dalam Ops Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di jalan utama kawasan ibu negara tengah malam tadi oleh polis.Ihsan JSPT KL.

Tambah beliau, ketiga-tiganya juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh tidak kurang dua tahun daripada tarikh sabitan.

Mengulas lanjut mengenai Operasi Motosikal dan Pelbagai Kesalahan, Sarifudin memaklumkan bahawa operasi dijalankan di tiga lokasi di ibu kota iaitu Jalan Bangsar, Jalan Raja Laut dan Jalan Kuchai Lama bermula jam 9 malam tadi.

“Dalam operasi berkenaan, polis mengeluarkan sebanyak 392 saman terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dan lapan motosikal telah disita kerana pemiliknya didapati mengubah suai ekzos motosikal mereka yang tidak mengikut spesifikasi penguatkuasaan undang-undang yang ditetapkan.

“Motosikal milik pesalah yang telah disita polis akan dibawa dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan lanjut selain pemilik diarah mengubah ekzos ke standard asal.

“Operasi yang berakhir jam 1 pagi tadi dijalankan dengan kekuatan sembilan pegawai kanan dan 86 anggota polis di lapangan.

“JSPT Kuala Lumpur akan sentiasa mempergiatkan operasi berkenaan terutama pada malam cuti umum bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang dan pada masa yang sama tidak mengganggu ketenteraman awam,” ujar beliau. – MalaysiaGazette