Ahli perniagaan, Liow Lian Keong atau Datuk Ken (kiri) dan isteri, Chen Lye Kuen (dua kiri) berjalan bersama peguam didakwa empat pertuduhan menggunakan kediaman sebagai rumah judi terbuka di Mahkamah Selayang. Foto FAREEZ FADZIL, 17 SEPTEMBER 2021.

SELAYANG – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan isterinya mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menjadikan kediaman mereka sebagai pusat perjudian terbuka di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Lelaki itu yang dikenali dengan jolokan ‘Datuk Ken’ itu memohon untuk dibicarakan atas kesalahan menjadikan rumah mereka di Rawang sebagai tempat perjudian.

Tertuduh yang nama sebenarnya Liow Lian Keong, 40, dan isterinya, Chen Lye Kuen, 41, hanya menunduk serta menggeleng kepala serta mengaku tidak bersalah setelah semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Pasangan suami isteri, Datuk dan Datin di Rawang mengaku tidak bersalah menjadikan kediaman mereka sebagai pusat judi terbuka.

Mengikut kertas pertuduhan, Lian Keong didakwa atas tiga tuduhan menggunakan kediaman miliknya di Bandar Country Homes, Rawang sebagai rumah perjudian terbuka, antara jam 5.15 hingga 6.15 petang pada 6 Julai lalu.

Sementara itu, Lye Kuen didakwa menjadikan kediaman miliknya di Bandar Country Homes, Rawang sebagai rumah judi terbuka, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum hingga tiga tahun, denda maksimum hingga RM50,000 serta boleh dikenakan denda dengan jumlah sama bagi setiap mesin judi dirampas.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin, Thomas Chin S W dan Matthews.

Pada bulan lepas, pasangan suami isteri itu dicekup selepas aktiviti sindiket melibatkan judi dalam talian, pinjaman tanpa lesen dan lombong bitcoin tumpas melibatkan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM33 juta.

Tangkapan terhadap tertuduh dan Lye Kuan masing-masing berusia 40 dan 41 tahun pada 11 Ogos itu susulan serbuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di empat rumah di Country Homes, Rawang pada awal Julai lepas melibatkan judi dalam talian.

Sebelum ini Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mendedahkan beberapa rampasan dan sitaan melibatkan kenderaan serta hartanah dibuat iaitu 14 kereta mewah, 14 rumah, tiga rumah kedai, wang tunai dan pembekuan 71 akaun bank.

Ketika serbuan, sembilan komputer riba dan 15 telefon bimbit dirampas selain 13 individu berusia 17 hingga 40 tahun yang merupakan pekerja sindiket itu ditahan untuk tindakan lanjut.

Sindiket itu menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang tanpa lesen yang dikhaskan kepada kenalan rapat dan ahli perniagaan dengan mengenakan kadar faedah lapan hingga 10 peratus sebulan.

Bagi aktiviti melombong bitcoin, sindiket  dikesan melakukan pendawaian elektrik secara haram ke premis mereka sehingga menyebabkan kerugian kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencecah jutaan ringgit sebulan.

Aktiviti judi dalam talian pula, sindiket itu menggunakan rumah atau pejabat bagi menempatkan pekerja mereka menguruskan kegiatan perjudian itu secara 24 jam sehari. 

Sindiket berkenaan menggunakan platform media sosial seperti aplikasi WhatsApp, WeChat dan Facebook bagi mempromosikan kegiatan judi dalam talian, malah dipercayai turut menggunakan akaun bank ‘keldai’ bagi transaksi setiap bayaran.

Hasil siasatan polis turut menemukan 24 syarikat dipercayai digunakan sindiket  bagi mengaburi perniagaan dan keuntungan haram yang diperolehinya daripada dikesan pihak berkuasa. -MalaysiaGazette