E. Elavarasan. Foto Facebook Sarawak United Official.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan digantung setahun daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak dan denda RM10,000 susulan kenyataannya selepas aksi Liga Perdana berdepan Negeri Sembilan pada 10 September lalu.

Beliau didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 Statut FAM (Tatalaku Badan dan Pegawai) dan Artikel 82 Statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas tindakannya yang membuat kenyataan semasa temu ramah selepas perlawanan.

Menurut artikel itu, komen berkenaan berhubung isu yang membabitkan FAM tanpa kebenaran di mana kenyataan semasa temu ramah yang dibuat olehnya secara terus atau secara innuendo boleh memberikan impak yang negatif ke atas nama baik dan reputasi FAM selain daripada mengecam mengenai urusan pentadbiran hal-ehwal FAM (kepengadilan) atau pengelolaan Liga Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, menjelaskan hukuman ke atas Elavarasan sepatutnya berkuatkuasa mulai semalam sehingga 16 September tahun depan.

Ia sekali gus menyaksikan Sarawak United bakal kehilangan sentuhan Elavarasan untuk aksi terakhir Liga Perdana, Selasa ini dan saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 25 September selain separuh dari kempen Liga Super mereka musim depan.

Pengendali berusia 56 tahun itu bagaimanapun terselamat daripada hukuman berat itu buat ‘seketika’ selepas Jawatankuasa Tatatertib memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana hukuman penggantungan berkenaan ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik Elavarasan selama 12 bulan.

“Pegawai ini (Elavarasan) juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” kata Baljit dalam kenyataan, hari ini.

Elavarasan didakwa mengeluarkan kenyataan mengkritik mutu pengadilan ketika aksi Sarawak United berdepan Negeri Sembilan yang mana perlawanan itu berkesudahan pasukannya tewas 1-0. – MalaysiaGazette