Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seramai 103 penduduk yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di dua lokasi di Jalan Kemensah Heights di Ampang dipindahkan bagi mengelak sebarang risiko keselamatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua penduduk dipindahkan sejak malam semalam demi keselamatan mereka kerana dikhuatiri kejadian runtuhan kembali berulang berikutan cuaca hujan.

Katanya, semasa kejadian, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menutup tanah runtuh dengan kanvas terlebih dahulu sebelum sebarang kerja-kerja lain dapat dilakukan.

“Jabatan Mineral dan Geosains juga turut terlibat dalam penilaian dan kajian di lokasi runtuhan untuk menentukan punca sebenar kejadian tanah runtuh itu yang menjejaskan 27 unit rumah dan 28 keluarga dari tiga unit banglo dan 24 rumah bandar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, seramai sembilan pegawai dan 39 anggota polis ditempatkan di lokasi kejadian bagi mengawasi sebarang pergerakan dan keselamatan penduduk.

Menurutnya, langkah memindahkan penduduk juga satu tindakan terbaik bagi menjamin keselamatanmereka yang mendiami kawasan berhampiran lokasi runtuhan.

“Ketika ini, polis sudah mengawal kawasan dan tidak membenarkan sebarang pergerakan mana-mana individu yang datang dari luar kawasan ini.

“Pada masa yang sama, saya berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam hal ini dan mematuhi segala arahan yang ditetapkan polis di kawasan perumahan ini sehingga keadaan disahkan selamat untuk didiami semula nanti,” tegasnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lokasi runtuhan diisytihar kawasan bencana – MB