Sharbinee Allawee Ramli

KUALA LUMPUR – Gara-gara menyerang pengadil selepas aksi Liga Perdana menentang Negeri Sembilan pada 10 September lalu, dua pemain dan dua pegawai pasukan Sarawak United akhirnya menerima padah.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025 semalam mengenakan hukuman penggantungan dan denda ke atas mereka.

Pemain, Mohammad Amer Saidin dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 dengan hukuman berkenaan tidak boleh dirayu.

Seorang lagi pemain Sarawak United, Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli pula didenda RM4,000 dan penggantungan empat perlawanan selepas disabitkan dua pertuduhan menyerang pegawai perlawanan, namun dia boleh membuat rayuan.

Pegawai pasukan Sarawak United, Abang Fomay Abang Sa’adeli yang didapati turut terbabit dalam insiden menyerang pengadil pada perlawanan itu dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000.

Sementara itu, seorang lagi pegawai pasukan, Rudy Bujang dikenakan hukuman lebih berat apabila digantung selama enam bulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya yang berkuat kuasa semalam hingga 16 Mac 2022 dan didenda sebanyak RM10,000.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu ketika memaklumkan perkara itu dalam kenyataan hari ini, turut menjelaskan penjaga gol Sarawak United, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli berdepan tiga pertuduhan atas kesalahan yang dilakukan ketika perlawanan sama.

Baljit berkata, Mohd. Sharbinee digantung lima perlawanan termasuk satu penggantungan automatik dan didenda RM7,000 bagi keseluruhan kesalahan yang dilakukan, namun dia boleh membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Katanya, bagi pertuduhan pertama, Mohd Sharbinee melanggar Artikel 50.1(d) Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila sengaja menerjah dengan kuat di bahagian dada pemain pasukan lawan, Mohamad Zamri Pin Ramli.

“(Pertuduhan kedua) Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila menolak dengan agresif di bahagian dada pengadil perlawanan setelah dilayangkan kad merah.

“(Pertuduhan ketiga) Berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila menumbuk papan penggantian yang sedang diangkat oleh pegawai keempat untuk membuat penggantian pemain semasa beliau keluar padang setelah diperintah keluar oleh pengadil perlawanan,” katanya. – MalaysiaGazette