Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. Foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2021.

SEPANG – Sejumlah 71 peratus daripada 12,545 kakitangan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) sudah boleh menjalankan tugas mereka selepas dilengkapi dua dos vaksin Covid-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, ia giat dijalankan sempena pembukaan taska esok seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ada lagi 1,745 lagi kakitangan taska yang belum lengkap divaksin dan ada juga 1,800 yang telah mendapat satu dos.

“Usaha akan dijalankan agar mereka cepat mendapat vaksin ini bagi memastikan anak-anak dalam jagaan mereka terpelihara,” katanya selepas mengadakan lawatan dan pemantauan taska yang akan beroperasi dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan (PPN) di Taska Nur Idayu, Bandar Baru Salak Tinggi, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda untuk anak-anak yang ibu bapanya bekerja dibenarkan beroperasi di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Jumaat lalu

Ia dengan syarat operator dan pekerja di pusat-pusat ini perlu menerima vaksinasi lengkap sebelum dibenarkan beroperasi.

Ditanya mengenai pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baharu mengenai pembukaan taska, Rina berkata, ibubapa akan diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan meninggalkan anak-anak mereka di pusat-pusat ini.

“Dulu mereka akan buat semakan suhu badan terhadap anak-anak sahaja, tapi sekarang ibubapa juga kita akan semak dan pastikan ibubapa sudah mendapatkan vaksin atau tidak.

“Itu semua kita rekodkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama-sama Kementerian Kesihatan akan sentiasa membuat pemantauan dari masa ke semasa mengenai pelaksanaan SOP baharu ini.

Dalam pada itu, Rina berkata, 154 kes kematian ibubapa kerana Covid-19 akan ditempatkan di tujuh buah rumah kanak-kanak di seluruh negara.

Ia bertujuan menjadi tempat perlindungan kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai waris lain selain ibubapa mereka.

“Kita ada tujuh buah rumah kanak-kanak yang kita telah kenalpasti untuk dijadikan tempat perlindungan kanak-kanak yang kehilangan ibubapa ekoran Covid-19.

“Ini kerana sudah tidak ada ahli keluarga yang lain nak jaga mereka, maka kita letakkan di rumak kanak-kanak dan kita sedang merangka pelan jangka panjang bantuan kewangan, emosi dan motivasi,” jelas Rina lagi.

Sebelum ini, sytatisti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendedahkan sejumlah 4,422 orang murid di negara ini kehilangan ibubapa, ibu atau bapa akibat pandemik Covid-19.

Menurut statistik itu, murid yang kehilangan ibubapa adalah sebanyak 154 kes, ibu meninggal akibat Covid-19 adalah 1,441, 2,687 kehilangan bapa dan 140 kes lagi kehilangan penjaga.

Selangor mencatatkan kes kematian ibubapa tertinggi dengan 107 kes. – MalaysiaGazette