Penjara Gilboa. foto Reuters

TEBING BARAT – Tentera Israel mendakwa berjaya menangkap semula dua daripada enam lelaki Palestin yang berjaya meloloskan diri daripada penjara berkeselamatan tinggi hampir dua minggu lalu.

Pasangan itu ditangkap setelah dikepung oleh pasukan keselamatan Israel di bandar Jenin di Tebing Barat, kata Pasukan Pertahanan Israel.

Empat yang lain ditangkap minggu lalu.

Siasatan sedang dilancarkan mengenai kejadian itu, yang mencetuskan sambutan dalam kalangan rakyat Palestin.

Terdapat pertembungan antara pasukan Israel dan penunjuk perasaan Palestin di Jenin pada awal hari Ahad, tetapi polis Israel mengatakan kedua-dua pelarian itu ditawan semula tanpa tentangan.

Salah seorang bapa lelaki itu memberitahu Associated Press bahawa anaknya bersetuju untuk menyerah “agar tidak membahayakan pemilik rumah”.

Perdana Menteri Israel Naftali Bennett berkata, operasi menangkap dua tahanan itu sebagai “mengagumkan, canggih dan pantas”, sambil menambah “apa yang salah dapat diperbaiki”.

Tindakan tahanan melarikan diri daripada penjara berkenaan merupakan episod yang memalukan bagi perkhidmatan penjara Israel, dengan media Israel mendakwa ia adalah kegagalan keselamatan.

Enam tahanan itu elah menghabiskan berbulan-bulan untuk menggali terowong di lantai sel bersama-sama banduan di penjara Gilboa dan meloloskan diri melalui lubang di seberang tembok penjara pada 6 September.

Seorang peguam salah seorang lelaki yang melarikan diri mengatakan anak guamnya menggunakan sudu, pinggan dan pemegang cerek untuk menggali keluar daripada kemudahan itu.

Sejak itu sudu digunakan dalam dalam demonstrasi pro-Palestin.

Kesemua tahanan itu dipenjara kerana melakukan serangan ke atas Israel. – BBC