Hasni (tengah) menyampaikan kunci rumah kepada salah seorang penduduk untuk projek penempatan semula perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2 di sini.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor menerusi Pejabat Daerah Johor Bahru hari ini menyerahkan 46 buah rumah projek penempatan semula kepada penduduk Kampung Pendas Baru Fasa 2.

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, projek penempatan semula perumahan Kampung Pendas Baru fasa 2 itu adalah usahasama kerajaan negeri dan Iskandar Investment Berhad (IIB) melibatkan pembinaan berjumlah RM16.3 juta.

Dilengkapi dengan dua bilik tidur dan dua bilik air, selain kemudahan awam seperti dewan serbaguna, surau dan taman permainan beliau mengharapkan penduduk di kawasan itu mengekalkan kelestarian alam sedia ada.

“Jika kita lihat di sini banyak kawasan paya bakau, jadi jagalah kebersihan kekalkan nature itu. Kerana ianya mencerminkan suasana mesra alam.

”Oleh itu kita bina satu masyarakat yang sentiasa bekerjasama dan saya amat yakin kerajaan dari masa ke masa akan lihat keperluan rakyat bagi memastikan tiada yang tercicir,” katanya.

Beliau menyatkan demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan 46 buah rumah Projek Penempatan Semula Perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2, di sini, hari ini.

Pembinaan 118 unit rumah di Kampung di Kampung Pendas Baru terbahagi kepada dua fasa iaitu 72 unit bagi rumah fasa satu pada tahun 2011 manakala 46 unit lagi dibina untuk fasa dua pada tahun ini.

Kata Hasni, setiap rumah teres satu tingkat yang berkeluasan 1,000 kaki persegi itu memberi pelbagai manfaat kepada penerima terutama pada waktu pendemik Covid-19.

Sementara itu, Jasni Mohd Ali berkata, penantian memiliki rumah selama bertahun-tahun membawa sinar untuk mereka sekeluarga.

Dia yang sebelum ini yang terpaksa tinggal di tapak lama dengan keadaan yang kurang selesa menyifatkan pemberian kunci rumah pada hari ini sebagai rezeki yang tidak sangka-sangka.

“Sudah pasti gembira, kerana sebagai manusia sudah tentu kita mahu rumah yang cantik dan selesa dan hari ini impian saya tercapai.

“Terima kasih kepada Datuk Hasni kerana menunaikan janji dan saya sangat gembira bila dimaklumkan perkara ini.Syukur.Terima kasih,” ujarnya.

Mar

Sementara itu, seorang lagi penerima, Marsitah Abdullah berkata, beliau bercadang mengadakan doa selamat bersama suami dan enam orang anaknya atas penyerahan kunci rumah tersebut.

Melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri Johor, beliau berkata, dia tidak pernah menjangka menerima rumah yang lebih selesa dan cantik berbanding sebelum ini.

“Syukur Alhamdulillah, dalam masa terdekat saya berniat nak adakan doa selamat hanya dalam kalangan keluarga sahaja.

“Kerana dalam keadaan yang orang lain terpaksa bersusah payah dan bermacam masalah dihadapi, tetapi Tuhan hadirkan saya rezeki yang tidak dijangka. Terima kasih semua,” katanya. – MalaysiaGazette