Bendera kebangsaan Korea Utara.

PYONGYANG – Korea Utara mengutuk perjanjian baharu keselamatan antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat dikenali sebagai AUKUS, sambil mendakwa kerjasama itu akan mencetuskan ‘persaingan senjata nuklear’.

Seorang pegawai Kementerian Luar Negeri berkata, AUKUS akan “mengganggu keseimbangan strategik di rantau Asia Pasifik”.

Perjanjian itu akan menyaksikan AS dan UK memberi Australia teknologi untuk membina kapal selam berkuasa nuklear.

Ini secara luas dilihat sebagai usaha untuk melawan pengaruh China di Laut China Selatan.

Perjanjian AUKUS diumumkan minggu lalu dan juga akan meliputi peluru berpandu jelajah, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi lain.

“Ini adalah tindakan sangat tidak diingini dan berbahaya yang akan mengganggu keseimbangan strategik di rantau Asia Pasifik dan mencetuskan rangkaian perlumbaan senjata nuklear,” kata seorang pegawai Kementerian Luar Korea Utara yang merujuk kepada perjanjian keselamatan itu.

Minggu lalu, Korea Utara melancarkan dua ujian senjata nuklear – peluru berpandu jarak jauh dan balistik.

China juga mengkritik perjanjian itu apabila jurucakap Kementerian Luar Negeri Beijing, Zhao Lijian memaklumkan pakatan itu berisiko “merosakkan keamanan damai serantau … dan memperhebatkan persaingan senjata”.

Pyongyang berkata, “wajar negara jiran [seperti] China mengecam tindakan ini sebagai tidak bertanggungjawab untuk memusnahkan keamanan dan kestabilan rantau ini”.

Perjanjian itu akan menyaksikan AS berkongsi teknologi kapal selamnya untuk pertama kalinya dalam 60 tahun, sebelum ini hanya berkongsi sekali dengan UK. – BBC