Rahani yang menghidap penyakit misteri terpaksa berada di satu tempat untuk melakukan aktiviti harian.

BALIK PULAU – Seorang wanita terpaksa mengesot untuk bergerak sejak 20 tahun lalu selepas mendakwa mengalami penyakit misteri.

Rahani Othman, 68, berkata, dia dan keluarga sudah puas mencari pakar perubatan bagi mengenal pasti dan merawat penyakitnya namun sehingga kini menemui jalan buntu.

Rahani Othman

Katanya, penyakit itu menyebabkan ketumbuhan di bahagian pinggul, selain itu kedua-dua belah kaki wanita ini membengkak.

Bekas anggota tentera di Rejimen 509, Lebuh Peel sehingga tahun 1991 ini berkata, penyakitnya dikesan ketika dia bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Kakinya tiba-tiba menjadi kemerah-merahan dan gatal.

Dia kemudian merujuk masalahnya di beberapa klinik dan hospital termasuk pakar.

“Enam tahun kemudian keadaan semakin melarat menyebabkan saya tidak boleh berjalan berikutan berat badan berlebihan.

Minah Ismail sedang membersihkan bahagian kaki Rahani ketika tinjauan wartawan MalaysiaGazette di rumah mereka.

“Sejak itu hingga sekarang, saya hanya mampu mengesot bagi mengambil barangan jika tanpa pertolongan ibu, Minah Ismail.

“Sepanjang tempoh tidak boleh berjalan ini, rakan-rakan dan jiran-jiran membantu meletakkan kesemua barangan yang diperlukan berhampiran dengan saya supaya mudah diambil,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Permatang Pasir, di sini hari ini.

Rahani menerima bantuan wang bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Tentera Malaysia dan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Rahani berkata, memandangkan dia tidak mampu bergerak, dia hanya berada di satu tempat sahaja yang digunakan untuk tidur, membersihkan diri dan memasak.

Menurut beliau, dia sudah lama tidak keluar dari rumah.

Ibunya yang sudah berusia 78 tahun juga perlu menjaga adik bongsu berusia 32 tahun yang juga berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) akibat sawan.

Rahani masak, mandi dan tidur di tempat yang sama.

“Saya merayu sekiranya ada pakar yang mampu mengesan atau merawat penyakit ini bantulah saya, agar dapat jalani kehidupan seperti biasa sekurang-kurangnya tidak membebankan lagi ibu,” ujar Rahani.

Dalam perkembangan lain, Rahani juga memberitahu dia masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Saya sudah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin tetapi penyakit yang saya alami ini menyebabkan saya tidak dapat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya.

Orang ramai yang ingin hulurkan bantuan boleh salurkan melalui akaun Maybank 107086228392 Rahani Othman atau menghubungi jirannya di talian 016 944 6504 (Zahra Sitam). – MalaysiaGazette