Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyambung bicara kes pengubahan wang haram membabitkan wang RM9.5 juta dan memberikan penyata palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapi Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Wang berkenaan didakwa diterima peguam terkenal itu daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hari ini, dua saksi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan keterangan berhubung siasatan terhadap Muhammad Shafee.

Ketika soal balas hari ini, kedua-dua saksi mendedahkan Muhammad memberitahu, wang RM9.5 juta itu merupakan bayaran perkhidmatan undang-undang yang diberikan kepada Najib dan Barisan Nasional (BN).

Menurut saksi ke-4, Mohd Nasharudin Amir, tertuduh memberitahu SPRM, kedua-dua bayaran dibuat melalui dua cek masing-masing RM4.3 juta dan RM5.2 juta adalah bayaran untuk nasihat undang-undang oleh Najib kepada Muhammad Shafee.

“Berdasarkan jawapan oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah wang itu adalah pembayaran untuk nasihat yang diberikan olehnya kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

“Kedua-dua cek berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta diberikan oleh Datuk Seri Najib. Nasihat itu juga untuk parti Datuk Seri Najib iaitu UMNO.

“Dua cek yang diterima itu juga kata Tan Sri Muhammad Shafee tidak ada sebarang kaitan dengan kes rayuan sodomi kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Sambung saksi itu, tertuduh juga ada mendedahkan  wang tersebut telah digunakan olehnya untuk membeli sebuah rumah di Bukit Tunku dengan harga RM9.5 juta.

Nasharuddin juga memberitahu, tertuduh juga tidak pernah bertanya mahupun tahu dari manakah sumber dana yang digunakan untuk membayar untuk perkhidmatannya.

Manakala saksi ke-5 pula, pegawai komunikasi strategik SPRM, Zulfaqar Mohd Khalil memberitahu mahkamah keterangan lisan diambil olehnya sekitar 11 September 2018 di Ibu Pejabat SPRM.

“Tertuduh ulang RM9.5 juta itu adalah untuk perkhidmatan guaman yang diberikannya kepada BN untuk petisyen Pilihan Raya antara 2004 dan 2006.

“Saya ada tunjukkan kepada Muhammad Shafee salinan surat pelantikan sebagai Timbalan Pendakwa Raya sekitar 22 Mei 2014. Beliau ada beritahu Tan Sri Abdul Ghani Patail yang ketika itu adalah Peguam Negara telah melantiknya untuk menjadi Timbalan Pendakwa Raya dalam rayuan kes liwat Anwar.

“Tapi tertuduh kata wang sebanyak RM9.5 juta itu tidak ada kaitan dengan kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat dihadapinya. Muhammad Shafee juga ada beritahu wang itu telah digunakan untuk beli banglo tiga tingkat,” ujarnya.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara melalui afidavitnya melaporkan Najib ketika itu menjadi perdana menteri telah membayar RM9.5 juta kepada Muhammad Shafee antara 2013 dan 2014.

Anwar bergantung kepada afidavit dalam rayuannya yang sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan untuk mengembalikan semula tindakan sivil bagi mencabar kesahihan perbicaraan kes liwat melibatkan pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Prosiding akan bersambung esok.

Muhammad Shafee didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967. -MalaysiaGazette