Ashraf Rosli

KUALA LUMPUR – Cadangan Pakej Cukai Pemulihan Covid-19 yang disarankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencetuskan pelbagai reaksi.

Walaupun ada usul itu baik dan bakal membantu memacu menjana ekonomi dan fiskal Malaysia selepas terkesan oleh pandemik Covid-19 namun ada juga usul kurang sesuai atau lebih berpihak kepada golongan T20 berbanding B40 dan M40.

Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ashraf Rosli berkata, umum tahu pendapatan utama negara dijana daripada kutipan cukai langsung dan cukai tidak langsung.

Namun, katanya, penurunan nilai kutipan boleh menyebabkan pembangunan infrastruktur serta perancangan aktiviti pembangunan negara akan terganggu, sekali gus melambatkan proses pemulihan negara seperti yang dirancangkan.

Justeru, beliau berkata, penting kerajaan memastikan perancangan Belanjawan 2022 kali ini mengambilkira kesan terhadap pengenalan pakej cukai yang bersesuaian bagi pembayar sedia ada dan pembayar baru.

“Ini supaya dapat membina keyakinan rakyat terhadap agenda pemulihan negara serta keadilan yang dirasai semua pihak seiring dengan norma baru yang dipraktikkan di seluruh negara dan dunia ketika ini.

“Pada masa sama, keperluan penjanaan pendapatan negara sama penting bagaimana suatu peruntukan itu dibelanjakan dan ianya memang diakui perlu seimbang serta telus.

“Misalnya, cukai durian runtuh, cukai pembangunan kondo mewah, cukai duti stamp transaksi pertukaran harta dan perdagangan saham dan kenaikan cukai peribadi kepada golongan berpendapatan paling tinggi,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Najib yang menyenaraikan beberapa cadangan bagi membantu kerajaan memperoleh hasil atau pendapatan untuk negara bagi mendepani proses pemulihan ketika fasa endemik.

Ahli Parlimen Pekan itu dilaporkan berkata, untuk menjamin kelangsungan sebuah kerajaan dan ekonomi adalah amat penting mengimbangkan antara perbelanjaan dengan hasil.

Justeru menurutnya, kerajaan disaran agar memperkenalkan pakej cukai pemulihan Covid-19 sementara selama dua tahun.

Kata Ashraf, hasil yang diperolehi perlu dinikmati oleh semua rakyat amnya, bukan hanya retorik semata serta tertumpu kepada golongan tertentu.

Menurut beliau, cadangan kerajaan menuntut perkongsian keuntungan daripada syarikat mega yang menjalankan aktiviti perkhidmatan atas talian adalah sesuatu yang amat disokong.

“Ini memandangkan penggunaan meluasnya di Malaysia ketika negara kehilangan pendapatan yang besar apabila syarikat berkenaan tidak dikenakan cukai korporat, manakala cukai perkhidmatan terhadap aktiviti perkhidmatan atas talian juga perlu diberi perhatian kerana ada potensi menaikkan kutipan hasil negara.

“Cadangan beliau untuk membuka penjualan saham dalam syarikat Digital Nasional Berhad kepada pengusaha Telco tempatan boleh dikatakan mampu membantu syarikat ini berdaya saing dalam menaiktaraf perkhidmatan mereka.

“Namun, apa yang dikhuatiri adalah kos dikenakan kepada pelanggan masih tinggi dengan capaian agak terhad terutama di kawasan luar bandar, malah di kawasan bandar juga sering dilihat capaian yang terhad dan terganggu,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, adalah lebih wajar sekiranya syarikat Telco tempatan menaiktaraf mutu perkhidmatan sesuai dengan harga yang dibayar oleh rakyat jelata.

Apatah lagi, tegasnya, pelepasan cukai kepada penggunaan data dan internet dilihat tidak berubah setelah hampir beberapa tahun dan ianya patut dinilai semula apabila semua rakyat melalui norma baru. – MalaysiaGazette