14 pengunjung termasuk dua anggota polis berpangkat rendah yang berparti liar guna ketamin dicekup di sebuah kondominium mewah hasil serbuan pasukan Narkotik Kuala Lumpur dalam insiden 9.30 malam 18 September lalu.

KUALA LUMPUR – Polis menahan individu, termasuk anggota polis berpangkat lans koperal dan konstabel, yang leka berparti dalam sebuan yang dilakukan di sebuah kondominium mewah di Jalan Jalan Changkat Raja Chulan, di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abdul Latif berkata, pihaknya berjaya mengesan penganjuran parti liar itu daripada maklumat dan risikan yang dijalankan.

“Di dalam serbuan tersebut, seramai 14 pengunjung iaitu tujuh lelaki dan tujuh perempuan warga tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun telah ditangkap polis.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis tersebut juga polis telah menjumpai dadah jenis ketamin anggaran seberat 5.56 gram bernilai RM834.

“Siasatan awal pihak polis, mendapati penganjur parti liar tersebut adalah seorang lelaki berumur 39 tahun dan bertujuan untuk bertemu kenalan dan seterusnya berhibur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sahar, pengunjung yang hadir dijemput melalui panggilan telefon oleh penganjur dan tiada sebarang bayaran dikenakan.

Tambah beliau, premis tersebut disewa pada harga RM220 sehari.

Ujarnya, hasil semakan lanjut identiti pengunjung, pihaknya mendapati dua daripada 14 orang pengunjung yang hadir adalah anggota polis berpangkat lans koperal dan konstabel sokongan dari Cawangan Tugas Am dan mereka berhibur dengan dadah dalam parti itu.

“Parti liar ini juga merupakan sebuah ‘Parti Ketamin’ memandangkan dadah yang digunakan adalah dadah jenis Ketamin yang mana kesemua mereka yang menjalani saringan awal urin didapati positif ketamin,” katanya.

Menurut Sahar, semua yang ditahan dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 seorang di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pelan Pemulihan Negara) (No.2) 2021m dengan jumlah keseluruhan bayaran kompaun berjumlah RM56,000.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 melibatkan, Seksyen 12(2) dan jika sabit kesalahan boleh penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakalan Seksyen 15(1)(a) jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 serta pengawasan polis tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

“Pemilik kediaman dan juga penganjur boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 13(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau hukuman penjara selama tempoh maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti tidak bermoral boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette