Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Undang-undang tidak membezakan sama ada seorang menteri atau rakyat biasa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Jelas beliau, apa yang jelas adalah terdapat perbezaan pendapat yang mengelirukan bagi sesetengah pihak mengenainya.

“Sejauh mana tindakan itu melanggari undang-undang dan sekiranya siasatan menyatakan ianya melanggar undang-undang maka tidka ada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang.

“Kita telah lihat bagaimana menteri-menteri termasuk juga saya pun didenda beberapa kali bila langgar SOP.

“Kerajaan dapat beri jaminan bahawa dalam menguatkuasakan undang-undang tidak ada yang membezakan samada seseorang itu menteri ataupun tidak,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (AMANAH) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Hasanuddin sebelum itu bangun bertanya apa tindakan kerajaan terhadap jemaah Kabinet yang dilihat melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat.

Terdahulu Annuar menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azziah Mohd Dun (BN) yang ingin mengetahui mengenai apakah langkah proaktif yang diambil untuk membendung penyalahgunaan media sosial khususnya aplikasi Whatsapp dan Facebook yang mencetuskan suasana kegusaran dalam kalangan orang ramai terutamanya berkaitan vaksin Covid-19.

Menjawab pertanyaan itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 sehingga September 2021, sebanyak 307 kertas siasatan telah dibuka polis mengenai berita palsu.

Kebanyakan kertas siasatan itu adalah berkaitan dengan berita palsu mengenai Covid-19, katanya.

“Kebanyakannya disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan daripada jumlah itu 163 kes telah diselesaikan, 37 dituduh di mahkamah sementara 114 kes lagi masih dalam siasatan.

“Menerusi angka-angka itu, menunjukkan kes telah pun banyak diselesaikan namun masih ada penularan berita negatif tentang vaskin telah sangat banyak berkurangan.

“Ini punca kepada kejayaan program vaskinasi yang sedang berjalan ketika ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette