Saturday, April 27, 2024
Home Nasional Siasatan isu kartel PDRM perlu didedahkan – Gobind

Siasatan isu kartel PDRM perlu didedahkan – Gobind

Gobind
Gobind Singh Deo
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menggesa siasatan mengenai isu kartel dalam kalangan pegawai  Polis Diraja Malaysia (PDRM) didedahkan kepada umum.
Bekas menteri Kabinet itu berkata,  siasatan terhadap dakwaan tersebut tidak sewajarnya dilakukan secara dalaman.
Beliau turut menyelar kenyataan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki yang mendakwa isu kartel dalam PDRM adalah masalah dalaman pasukan itu.
“Saya hendak tanya di sini adakah kesalahan-kesalahan rasuah dan kesalahan yang didedahkan oleh Ketua Polis Negara itu (Tan Sri Abdul Hamid Bador) boleh diselesaikan secara dalaman?
“Apa yang membawa kepada beza pegawai-pegawai polis apabila berlakunya satu jenayah? Kenapa mereka ini diambil tindakan secara dalaman? Kalau Ketua Polis Negara yang bawa aduan ini dan tiada tindakan, bagaimana kita ada keyakinan dalam kerajaan?,” soalnya ketika membahas Titah DiRaja pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita menjatuhkannya serta mendakwa gerakan itu juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.
Mengulas lanjut, Gobind turut mempersoalkan tiada sebarang kenyataan dibuat berhubung siasatan dalaman tersebut sehingga kini.
Beliau turut hairan dengan tindakan SPRM yang menyiasat sendiri kes melibatkan tiga pegawainya berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.
“Bagaimana ianya boleh disiasat oleh SPRM? Ini menjadi satu perkara yang kita lihat akan jadi kes, di mana dinasihatkan supaya disiasat secara dalaman?
“Tuan Speaker, ini kes yang dihadap ke mahkamah, barang kes yang telah melalui proses mahkamah boleh lesap, dan SPRM dalam kenyataan, kata jangan buat spekulasi.
“Kalau tiada butir-butir, rakyat akan buat spekulasi kerana SPRM yang gagal memberi butir-butir (berhubung siasatan),” katanya lagi. – MalaysiaGazette