Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Sehingga hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada sebarang laporan diterima oleh pihaknya membabitkan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang direman kerana didakwa terlibat dalam mencuri barang kes membabitkan wang tunai berjumlah AS$6juta (RM25.029 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataan tengah malam tadi berkata, pihaknya sedia maklum dengan isu tular membabitkan pegawai kanan SPRM itu.

“PDRM bagaimanapun ingin mengesahkan bahawa sehingga hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima oleh PDRM berhubung kejadian ini.

”PDRM ingin menasihat orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita tidak benar,” tegas beliau.

Kenyataan Bukit Aman itu menyusul selepas satu isu viral berkaitan tiga pegawai kanan SPRM direman kerana didakwa mencuri barang kes iaitu wang tunai berkenaan yang merupakan milik bekas Ketua Pengarah MEIO Datuk Hasanah Abdul.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahguna media sosial untuk menyebarkan berita palsu.

Isu berkenaan viral menerusi sebuah blogspot edisisiasatmy yang melaporkan bahawa sekitar Ogos 2018 SPRM menggeledah dan merampas sejumlah wang tunai dolar Amerika Syarikat dari sebuah unit kondominium di Cyberjaya yang disyaki milik Hasanah.

Mahkamah telah memberikan DNAA iaitu bebas tanpa lepas kepada suspek dalam kes ini iaitu Hasanah.

Kini Hasanah dilaporkan mahu menuntut semula wang berkenaan daripada SPRM tetapi yang tinggal hanya sebahagian duit dan selebihnya adalah duit palsu.

Hasanah dikatakan telah membuat laporan polis dan tiga pegawai SPRM berkenaan telah direman selama enam hari bermula 14 September 2021 selepas menjalankan siasatan dalaman.

Namun didakwa kes itu telah disenyapkan dari pengetahuan umum.

Malah turut dipersoalkan kewajaran kes dibiarkan kepada siasatan SPRM sedangkan laporan polis telah dibuat dan kenapa polis tidak menangkap ketiga-tiga suspek dan mengambil alih menyiasat kes berkenaan.

Malahan blogspot itu juga mendakwa kes curi dan wang palsu bukan di bawah bidang kuasa SPRM.- MalaysiaGazette