worst scenario new Variant of Concern VOC Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah at a news conference on the Covid-19 updates in the country. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 08 MAY 2021. Covid-19 new daily cases
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar berusia antara 12 hingga 17 tahun bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pemberian vaksin itu seterusnya seterusnya dapat mencegah kejadian kes dan kluster dalam kalangan warga sekolah.

“Statistik menunjukkan trend peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak (0-18 tahun) di Malaysia adalah membimbangkan.

“Justeru, turut membimbangkan adalah statistik kematian yang mana 67 kematian dalam kalangan kanak-kanak telah dilaporkan pada tahun ini iaitu sehingga 19 September 2021 berbanding enam enam kes kematian membabitkan kanak-kanak kategori usia sama pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Justeru KKM menyarankan 60 peratus daripada kanak-kanak remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang bulan November 2021 dan 80 peratus daripada mereka yang layak divaksinasi mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah memberikan kelulusan bersyarat kepada kanak-kanak yang telah mencapai umur 12 tahun dan ke atas untuk divaksin.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga untuk mendaftarkan anak-anak mereka yang layak menerusi institusi-institusi pendidikan masing-masing dan melalui aplikasi MySejahtera.

“Institusi-institusi pendidikan, perlindungan, pemulihan dan tahanan dikehendaki mendaftar institusi masing-masing melalui portal vaksinanakku.herokuapp.com bagi membolehkan penjadualan vaksinasi dibuat untuk kanak-kanak yang berada di institusi masing-masing oleh Pejabat Kesihatan Daerah manakala bagi kanak-kanak di luar institusi, pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera adalah diperlukan,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, seperti ubat-ubatan lain, vaksin Covid-19 juga mempunyai kesan-kesan sampingan yang pada kebiasaannya adalah ringan dan penerimanya akan pulih dalam masa yang singkat.

Jelasnya beberapa perkara yang perlu diambil perhatian ibu bapa kepada kanak-kanak selepas mendapat suntikan vaksin ialah terdapat kemungkinan sakit dan bengkak di tempat suntikan, penat, sakit kepala, sakit otot, menggigil dan demam.

Selain itu terdapat kemungkinan radang jantung (myocarditis) dan radang selaput jantung (pericarditis) yang merupakan kesan yang sangat jarang berlaku.

Namun pada kebiasaannya kesan-kesan tersebut berlaku selepas menerima dos kedua atau beberapa hari selepas divaksinasi atau lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak lelaki, ujarnya.

Dr. Noor Hisham berkata, risiko myocarditis dan pericarditis adalah lebih rendah berbanding risiko untuk berlaku radang jantung yang disebabkan oleh jangkitan Covid-19, yang mana ia adalah 37 kali ganda lebih tinggi.

Tambah beliau, ibu bapa juga perlu mengawasi gejala-gejala awal seperti sakit dada, kesukaran bernafas dan jantung berdegup laju selepas anak mereka menerima vaksin untuk segera mendapatkan penilaian kesihatan dan rawatan.

“Pengawasan perlu dilakukan supaya kanak-kanak tidak melakukan aktiviti lasak dalam tempoh seminggu selepas vaksinasi.

“Sekiranya ibu bapa dan penjaga terdapat sebarang pertanyaan tentang program vaksin COVID-19 ini, dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan kanak-kanak atau pegawai perubatan yang bertauliah bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Dr. Noor Hisham, faedah mengambil vaksin Covid-19 adalah jauh lebih bermanfaat berbanding kemudaratan akibat jangkitan virus tersebut. – MalaysiaGazette