Doktor Kontrak
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengadakan perbincangan dengan Sekretariat Gerakan Hartal Doktor secara dalam talian.
KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini mengadakan perbincangan bersama Sekretariat Hartal Kontrak bagi mendengar isu serta permasalahan yang dihadapi oleh Pegawai Kesihatan lantikan kontrak.
Dalam hantaran di laman Facebook, Khairy berkata, bebebapa perkara telah dibangkitkan termasuklah kaedah penilaian prestasi bagi penjawatan tetap, peluang lanjutan pengajian dan masa hadapan profesion golongan tersebut.
“Saya telah berikan komitmen kepada mereka bahawa KKM akan melihat setiap isu yang dibangkitkan serta akan berusaha mencari titik penyelesaian interim dan seterusnya ke arah penyelesaian yang lebih baik,” katanya.
Turut mengambil bahagian dalam perbicangan tersebut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Artikel berkaitan:

Kira-kira 23,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kini dilantik secara kontrak dan kerajaan pada Julai lalu telah mengumumkan kumpulan tersebut akan ditawarkan lanjutan kontrak dua tahun serta beberapa kemudahan termasuk melanjutkan pelajaran dengan penajaan.

Bagaimanapun tawaran tersebut masih gagal menjawab tuntutan mereka yang mahu diserap ke jawatan tetap sehingga menyebabkan ratusan doktor kontrak melakukan protes hari ini di hospital-hospital di seluruh negara. – MalaysiaGazette