Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pembangun perisian berputih mata selepas wang miliknya berjumlah RM1.2 juta lesap ditipu sindiket Macau Scam dalam kejadian pada 29 Julai lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Superintendan Tan Poh Cheok berkata, mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 61 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta.

Menurut beliau, wanita terbabit dikatakan menerima panggilan telefon yang mendakwa dari pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa pengadu mempunyai tunggakan cukai dan terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

“Pengadu kemudiannya telah dihubungi oleh seorang individu mendakwa dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka yang memaklumkan nama mangsa telah tersenarai dalam individu dikehendaki.

“Pemanggil telah meminta mangsa mengaktifkan akaun bank miliknya untuk proses siasatan. Mangsa telah diminta untuk menyalurkan semua maklumat berkenaan penyata gaji, penyata insurans, penyata bank, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan maklumat saham.

“Mangsa turut diarahkan untuk membuat beberapa transaksi dari akaun lain dan wang pengeluaran KWSP milik mangsa ke dalam akaun yang baru diaktifkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Poh Cheok berkata, tanpa pengetahuan mangsa, wang di dalam akaun miliknya telah dipindahkan ke beberapa akaun yang tidak dikenali.

Jelasnya lagi, mangsa turut menerima surat pemakluman melalui aplikasi WhatsApp berkenaan transaksi pindahan wang tersebut adalah bagi tujuan pembekuan akaun.

“Jumlah keseluruhan kerugian berjumlah RM1.2 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi serta maklumat perbankan kepada pihak yang tidak dikenali dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi.

Katanya, sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, orang awam boleh menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette