Seorang pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) direman lima hari bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM27,000 di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 21 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Seorang pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor direman lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM27,000.

Perintah reman sehingga 25 September dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 5.30 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Terdahulu lelaki itu tiba di perkarangan Istana Kehakiman Negara pada 9.30 pagi tadi dengan diiringi pegawai SPRM.

Difahamkan, suspek yang bertugas di salah sebuah PBT itu mengemukakan tuntutan palsu berkaitan sewaan perkhidmatan lori menggunakan resit yang mengandungi butiran palsu.

Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Anuar Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette