Ayam segar yang dijual kepada pelanggan dalam tempoh pelaksanaan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika di Pasar Seksyen 6, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Peniaga ayam di Pasar Seksyen 6 di sini bimbang dengan situasi harga ayam yang melambung tinggi sehingga menerima pelbagai rungutan daripada pelanggan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kesemua peniaga di pasar itu menjual ayam segar pada harga RM9.50 bagi setiap kilogram seperti yang disarankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Peniaga, Mohd Zamri Mastora, 47, mengakui menerima pelbagai rungutan dan sindiran daripada pelanggan berikutan harga ayam yang terlalu tinggi.

Peniaga ayam, Mohd Zamri Mastora. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2021.

“Pelanggan datang dan sindir, kata harga ayam sudah hampir sama dengan harga ikan dan kos harian mereka meningkat ekoran situasi yang berlaku ketika ini.

“Kami sebagai peniaga ayam memang terjejas apabila harga meningkat kerana ia turut mempengaruhi hasil jualan selepas pelanggan semakin berkurangan.

“Jadi kami sebagai peniaga pendapatan sudah berada pada ‘paras hidung’ tapi apa boleh buat kami terpaksa juga bertahan walaupun tidak tahu sampai bila,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jelas Mohd Zamri, selain disindir, dia turut menerima pelbagai asakan daripada pelanggan yang mahu mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan kenaikan harga ayam segar.

Peniaga terpaksa menjual ayam pada harga yang tinggi berikutan berlaku peningkatan harga di peringkat pemborong, katanya.

“Isu ini bukan lagi baharu kerana memang satu negara sudah tahu harga makanan ayam meningkat jadi penternak pun naikkan harga, tapi itu sahaja yang kami tahu.

“Kalau ikutkan harga ayam yang datang, kami patut jual RM10 tetapi disebabkan arahan daripada kementerian jadi harga yang disarankan adalah RM9.50.

“Walaupun hanya 50 sen tetapi ia amat mempengaruhi jualan kami sebagai peniaga kerana kami jual mengikut kilogram dan tidak termauk dengan diskaun lain yang kita beri kepada pelanggan,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga, Shahrul Nizam Ismail, 45, merayu kerajaan menerusi agensi berkaitan untuk menjalankan pemantauan dan siasatan bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku.

Peniaga ayam, Shahrul Nizam Ismail. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2021.

Menurut Shahrul Nizam yang sudah lebih 15 tahun mengusahakan perniagaan memahami masalah yang dihadapi pelanggan yang terpaksa membayar pada harga tinggi untuk mendapatkan ayam segar.

“Kalau ikut kita peniaga ini memang rasa terbeban kerana kos terlalu tinggi, biasanya kita akan jual antara RM8 hingga RM8.50 tapi bila kita jual antara RM9 hingga RM10 memang pembeli lagi rasa terbeban.

“Kita sendiri sebagai peniaga sudah rasa terbeban apatah lagi pengguna di luar sana. Jadi, kita minta kerajaan pantau lah situasi ini, kasihan lah pada kami dalam musim pandemik Covid-19 ini apabila harga barang melambung tinggi.

“Minta juga semua jabatan yang berkaitan siasat apa yang berlaku, di mana silapnya sama ada dari peniaga atau penternak,” katanya.

Tambah Shahrul Nizam lagi, berikutan harga ayam yang tidak masuk akal, secara tidak langsung pengguna turut mengurangkan jumlah pembelian mereka.

“Pelanggan memang banyak sangat rungutan setiap kali datang untuk beli ayam kerana harga terlampau tinggi, pada kebiasaan mereka beli pada harga RM17 hingga RM18 seekor tapi sekarang antara RM20 hingga RM22, tiada siapa boleh tahan dengan harga sebegitu,” ujarnya. – MalaysiaGazette