KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan dua saksi penting dalam perbicaraan kes jenayah di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membabitkan seorang lelaki tempatan yang cedera parah akibat dipukul dan dibakar sehingga meninggal dunia pada 2 September 2019.

Saksi-saksi itu ialah Rusdin Razali, 23, dengan alamat terakhir di No D-2-6 Taman Harmoni Indah 2, Taman Harmoni Indah, Balakong dan Mohd Saiful Anuar Yaccob, 39, alamat terakhir No 8-2 Pangsapuri Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata, pada 2 September 2019 polis telah menerima laporan daripada Pegawai Perubatan Hospital Serdang berkaitan seorang pesakit lelaki Melayu telah mengalami cedera parah akibat dipukul dan dibakar.

Pesakit kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang berjaya menangkap suspek yang terlibat dan telah dituduh di mahkamah.

Katanya, Polis Kajang memintan bantuan orang ramai untuk mengesan dua lelaki ini untuk tampil pada perbicaraan mahkamah pada 23 dan 24 September ini dan 11 hingga 12 Oktober 2021.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan penama ini diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak Polis atau penama ini sendiri boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu ASP Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108. – MalaysiaGazette