Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – ”Rupanya betul ceritanya,” kata Tan Sri Shahrir Samad.

Beliau mengulas mengenai isu tular penahanan tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari tarikh 14 hingga 19 September lalu.

Veteran UMNO itu berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru sahaja memberi amaran jangan buat sebarang spekulasi di media sosial.

Oleh sebab itu, isu yang terbongkar itu dilihat tidak sahih.

“Patutlah PDRM tidak tahu. Kerana tidak ada laporan polis dibuat. Terbongkar cerita di media sosial hanya dilihat tidak sahih dan dikeluarkan amaran jangan hebohkan cerita bukan-bukan,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM sahkan tahan 3 pegawai

Tiada laporan polis diterima berhubung kes curi wang Hasanah

Rupa-rupanya, tambah Shahrir, SPRM siasat dan bertindak sendiri ke atas pegawai-pegawainya tanpa buat laporan polis.

Kelmarin, polis membuat kenyataan susulan hantaran tular baru-baru ini mengenai bekas Ketua Pengarah Badan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid yang didakwa pada tahun 2018 dalam kes pecah amanah (CBT) membabitkan RM50.4 juta milik kerajaan.

SPRM menyita wang tunai dan barangan daripada Hasanah berkaitan siasatan kes itu.

Hasanah kemudian dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan dalam perbicaraan kes pada April tahun ini.

Terdahulu, laporan viral itu mendakwa ketika Hasanah berusaha mendapatkan wangnya, beliau mendapati hanya sebahagian wang yang tertinggal dan selebihnya diganti dengan wang kertas palsu- MalaysiaGazette