Wednesday, April 24, 2024
Home Nasional Akta MPTN siap Oktober ini – Noraini

Akta MPTN siap Oktober ini – Noraini

Noraini Ahmad
KUALA LUMPUR – Semakan ke atas Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) 1996 (Akta 546) bagi lantikan ahli MPTN dan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dijangka siap pada Oktober ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, ketika ini Jabatan Peguam Negara sedang dalam peringkat akhir semakan ke atas akta tersebut.
Jelas beliau, semakan tersebut dibuat mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang di bawah Akta Penyemakan Undang-undang 1968.
“Buat masa ini, Akta 546 menyatakan bahawa Pengerusi MPTN adalah merupakan Menteri Pendidikan.
“Justeru, proses untuk memperkasakan semula MPTN menghadapi cabaran berikutan fungsi Menteri yang bertanggungjawab adalah bukan menteri yang bertanggungjawab ke atas Pendidikan Tinggi,” katanya pada sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja di
Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada pertanyaan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Mazlee Malik (Bebas) yang membangkitkan berkenaan lantikan ahli MPTN dan LPU.
Noraini memberitahu, MPTN ditubuhkan di bawah Akta 546 dan berfungsi untuk merancang, membentuk dan menentukan dasar nasional bagi pembangunan pendidikan tinggi.
Jelas beliau, menyedari proses semakan ini mungkin mengambil masa, kementerian telah mengambil tindakan proaktif dengan menubuhkan secara pentadbiran Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (JPPT) yang melaksanakan sebahagian daripada fungsi MPTN.
Tambah, komposisi keahlian JPPT adalah sama seperti mana keahlian MPTN dengan tambahan ahli iaitu Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
“Jawatankuasa ini telah bersidang buat kali pertama pada 22 Julai 2021. Antara perkara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah berkenaan Penjanaan Pendapatan Universiti Awam, Succession Plan di Universiti Awam, Pengajaran dan Pembelajaran Masa Hadapan, Kebolehpasaran Graduan, Pengoperasian IPT Dalam Tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan lain-lain lagi isu penting berkenaan pendidikan tinggi,” katanya.
Mengenai usaha memastikan kredibiliti LPU terpelihara dan mampu berfungsi dengan berkesan, Noraini menambah, KPT telah menghasilkan University Transformation Program (UniTP) Greenbook: Enhancing University Board Governance and Effectiveness sebagai panduan.
Ujar beliau, ianya menyentuh perkara-perkara berkenaan saiz, komposisi dan kriteria pencalonan Ahli LPU.
Pelantikan LPU juga, jelasnya mengambil kira kepakaran calon yang memenuhi keperluan komposisi di bawah Akta 30, di samping keunikan Universiti Awam yang mempunyai bidang tujahan tertentu. – MalaysiaGazette