Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan golongan guru yang belum dan enggan divaksin Covid-19 tidak akan duduk secara bersantai di sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya sedang meneliti pendekatan terbaik membabitkan penugasan tugas kepada kira-kira 2,100 guru itu.

“Berkaitan soalan (Ahli Parlimen) Padang Serai (Karupaiya Muthusamy) apakah guru-guru yang tak divaksin ini dia tak mengajar bersemuka dan dia boleh duduk bersantai sahaja? Tidak.

“Ada tugasan yang akan diberikan kepada guru-guru berdasarkan keadaan semasa sekolah.

“Ini kerana 2,100 orang ini dalam sekolah yang berbeza. Ada sekolah memang tak ada seorang pun, memang semua divaksin… Ada sekolah yang tiga orang dalam mata pelajaran yang sama, contoh. (belum divaksin).

“Jadi, kita sedang teliti satu persatu apakah pendekatan terbaik,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan  Karupaiya (PH) yang mahu penjelasan adakah beban tugas akan dipikul oleh guru yang telah divaksin susulan daripada tindakan tidak membenarkan kumpulan guru yang enggan dan belum divaksin mengajar secara bersemuka.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH) mengenai tindakan KPM terhadap kumpulan guru yang enggan dan belum divaksin, Radzi berkata, ia bergantung kepada apa yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Ini kerana guru merupakan sebahagian daripada penjawat awam, dan KPM hanya mengikut keputusan JPA berkaitan hal tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette