Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Satu pelan komprehensif pembukaan semula sekolah telah disediakan bagi memastikan murid dapat kembali belajar secara bersemuka dalam keadaan selamat.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, dalam merangka pelan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh bagi mendapatkan input, pandangan serta cadangan daripada semua pihak berkepentingan.

Jelas beliau, sesi libat urus KPM melibatkan kumpulan pentadbir sekolah, guru dan juga wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Perlis, Negeri Sembilan, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

“KPM juga telah mengadakan sesi libat urus melibatkan kumpulan pakar daripada sektor kesihatan awam, pendidikan, psikologi kanak-kanak dan pediatrik.

“Sesi tersebut turut melibatkan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia.

“Selain itu, KPM turut mendapatkan pandangan daripada murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 termasuk Murid Berkeperluan Khas (MBK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat hari ini.

Radzi memberitahu, pada masa yang sama, KPM telah membuat analisis terperinci mengenai amalan terbaik pembukaan semula sekolah di negara-negara lain bagi meneliti pendekatan yang berkesan untuk memastikan pengoperasiansekolah secara bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan yang selamat.

“Semua input serta dapatan analisis daripada sesi libat urus tersebut telah dipertimbangkan oleh KPM dalam menyediakan pelan komprehensif pembukaan semula sekolah.

“Pelan ini kemudiannya diperincikan bersama-sama KKM dan MKN serta diselarikan dengan Pelan Pemulihan Negara,” katanya. – MalaysiaGazette