Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan syabu bernilai RM3.87 juta yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kegiatan sekumpulan sindiket dadah yang aktif menjadikan negara ini sebagai lokasi transit syabu sebelum dibawa ke negara jiran berjaya dilumpuhkan pada Isnin lalu.

Bertindak atas risikan selama seminggu sepasukan polis dari Jabatan Siastaan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang dengan kerjasama Pasukan Marin Wilayah Satu, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dan Seberang Perai Selatan menyerbu dua lokasi di negeri itu yang membawa kepada rampsan 100 bungkus syabu bernilai RM3.87 juta.

Difahamkan dadah itu untuk dibawa keluar ke Indonesia.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan bermula jam 2.30 petang hingga 5.30 petang turut membawa kepada tangkapan enam lelaki termasuk tiga warga asing berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun.

Mohd Shuhaily.

Jelas beliau, serbuan pertama dibuat di sebuah jeti pendataran ikan di Sungai Acheh, Balik Pulau membawa kepada penemuan 107 kilogram syabu dalam sebuah bot gentian kaca.

“Dalam serbuan itu, kita menahan dua lelaki tempatan dan tiga warga asing yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan syabu tersebut.

“Susulan itu, kita menahan seorang lagi suspek tempatan di rumahnya di Bukit Tambun, Nibong Tebal bagi membantu siasatan kes sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu, bot gentian kaca, wang tunai RM1,000 serta empat kenderaan termasuk dua buah motosikal.

Tambah Mohd Shuhaily, hasil siasatan mendapati syabu itu dipercayai untuk dibawa keluar ke negara jiran ekoran harga bahan terlarang itu tinggi di negara tersebut.

“Semakan lanjut juga mendapati, kesemua suspek yang bekerja sebagai buruh itu aktif dalam pengedaran dadah sejak awal September lalu.

Syabu seberat 107 kilogram itu untuk pasaran negara jiran.

“Selain itu, salah seorang daripada warga asing yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan Seksyen 56 (1) (b) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua suspek direman bermula semalam sehingga 27 September ini bagi membantu siastaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette