Gambar tular menunjukkan pihak bomba sedang memadamkan api pada kereta yang terlibat dalam kemalangan di Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terlibat dalam satu kemalangan di lampu isyarat di Kilometer 57.5 Jalan Alor Setar – Butterworth di sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 1 tengah hari itu membabitkan kereta Hyundai Elantra yang dipandu mangsa berusia 31 tahun dengan sebuah kereta Proton Persona.

Wanita berkenaan dilaporkan sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Persona berusia 38 tahun itu mendapatkan rawatan di klinik swasta susulan mengalami kecederaan pada hidung.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan mendapati pemandu Hyundai Elantra yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat ubahsuai rumah itu tidak sempat menekan brek lalu merempuh Proton Persona yang berhenti kerana lampu merah.

Jelas beliau, akibat pelanggaran itu, enjin Hyundai Elantra terbakar.

“Selain itu, rempuhan kuat daripada kereta mangsa menyebabkan Proton Persona terbabit terlajak ke hadapan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah Honda City dipandu seorang wanita berusia 30 tahun.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan kesemua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Lagenda Height menghala ke pusat bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1 tengah hari dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

“Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadam api di kenderaan tersebut dan  hampir 80 peratus kereta itu hangus dijilat api,” kata beliau. – MalaysiaGazette