Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Laporan Kewangan Tabung Haji (TH) 2019 telah diaudit dan dimaklumkan pada awam dengan mendapat sijil perakuan dari Ketua Audit Negara ditandatangani pada 23 Disember 2020.

Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, laporan TH untuk kewangan 2019 adalah hasil sebenar setelah setahun pemulihan yang dilakukan daripada sudut laporan kewangan yang bersih dan mengikut piawaian.

“Alhamdulillah Ketua Audit Negara memperakui pematuhan kami kepada Malaysian Finance Reporting Standard (MFRS) dan International Finance Reporting Standard (IFRS) dan lebih penting amanah mematuhi Akta TH dipenuhi.

“Isu pertikaian sukuk dengan jaminan ‘aset sakit’ dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) tidak lagi timbul dan di dalam laporan audit kewangan TH 2019 tiada teguran keras (EOM) malah diperakui mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, laporan 2019 berbeza dengan tahun 2018 di mana ketika itu TH baru sahaja melalui fasa awal intervensi pemulihan.

Menurut Mujahid, pada 2018, Ketua Audit Negara telah menegur dengan keras (EOM) dalam soal kemampuan TH membayar balik sukuk yang diterbitkan oleh UJSB.

Tambah beliau, pihaknya telah menjelaskan sukuk adalah di bawah senarai jaminan kerajaan dan kaedah pembayaran balik telah dinyatakan dengan terperinci.

“Saya ingin tegaskan, matlamat pemulihan yang kami gerakkan semasa diberi amanah menjaganya adalah untuk memastikan kewangan TH mengikut piawaian laporan kewangan supaya tidak berlaku manupulasi semata-mata untuk membayar hibah yang tinggi tetapi membahayakan kewangan TH di masa depan,” ujarnya.

Mujahid berkata, Pakatan Harapan (PH) ketika itu turut memastikan Akta TH dipatuhi sebagai tanggungjawab statutuari dan menjaga kebajikan sembilan juta penabung umat Islam.

Jelasnya, ia bagi mengembalikan pematuhan yang telah lari daripada landasannya semasa diambil alih dan PH terpaksa mengambil keputusan yang tidak popular.

“Hibah dibayar rendah supaya pematuhan akta dapat dipenuhi dalam seksyen 22. Aset yang tidak berdaya saing (aset sakit) diasingkan bagi kurangkan tekanan kewangan.

“Untuk menyelamatkan keadaan, pindahan ‘aset sakit’ ke UJSB dimuktamadkan dengan MoF (Inc),” tambahnya.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ini turut mengakui kesemua perkara tersebut termasuk keputusan tidak popular adalah demi kebajikan penabung dan kelestarian fungsi utama TH.“Alhamdulillah untuk kewangan 2019 kami berjaya tingkatkan hibah mengikut pematuhan akta TH yang sebenar.

“Saya mengharapkan kelestarian TH dikekalkan kerana ia adalah kebanggaan umat Islam dalam dan luar negara.

“Berhentilah daripada TH menjadi tunggangan politik atau agama dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas,” katanya. – MalaysiaGazette