Tarantula, burung, ular sawa antara yang dirampas dalam miliki suspek.

GEORGE TOWN – Kegiatan seorang lelaki menjual beberapa spesis haiwan termasuk hidupan liar dilindungi secara online tanpa lesen sejak setahun lalu berjaya dibongkarkan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jelutong, baru-baru ini.

Serbuan jam 10.30 malam oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang membawa kepada penemuan 295 haiwan pelbagai spesis yang dianggarkan bernilai RM142,000.

Pengarah Perhitan Pulau Pinang, Saat Yaakob berkata, pihaknya menjalankan risikan ke atas lelaki berusia 28 tahun itu selepas mendapati suspek terlibat dalam kegiatan penjualan haiwan tanpa sebarang lesen yang sah.

Chincilla ekor panjang antara dirampas dalam serbuan tersebut.

Kata Saat, pemeriksaan pihaknya menemui 255 pelbagai spesies Tarantula, spesis mantis (8) dan masing-masing 10 bagi kala jengking jenis Asian Forest serta ular sawa Ball Python.

Selain itu, Chinchilla jenis ekor panjang (6), pelbagai spesies katak (4) dan masing-masing satu burung Umbrella Cockatoo dan Moluccan Cockatoo.

Jelas beliau, hasil serbuan itu mendapati lelaki tersebut turut mempunyai kepakaran membiak tarantula secara sendiri daripada spesis yang diperolehnya.

“Siasatan awal kita mendapati lelaki berkenaan mendapat spesis haiwan itu daripada pasaran gelap dalam kalangan mereka untuk dijual sesama mereka, pemilik kedai haiwan serta pencinta haiwan berkenaan.

Pelbagai spesis katak turut dirampas dalam kediaman suspek.

“Soal siasat juga mendapati, seekor tarantula itu boleh dijual dengan harga RM150 hingga RM300 dan diikuti dengan kala jengking (RM150); Chinchilla (RM1,500 – RM3,000); ular sawa Ball Phyton (RM3,000) serta burung (RM12,000 hingga RM25,000).

“Semakan lanjut, kita percaya lelaki yang tidak bekerja itu menjana pendapatan sepenuhnya daripada hasil penjualan haiwan tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Saat berkata, kesemua haiwan itu dirampas susulan lelaki berkenaan gagal mengemukan sebarang dokumen serta lesen sah daripada Jabatan Perhilitan untuk memiliki haiwan-haiwan tersebut.

Seekor burung kakak tua itu dijual dengan harga RM15,000 hingga RM25,000.

“Suspek pula dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti dari mana suspek peroleh bekalan haiwan itu,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 68 akta yang sama kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Sehubungan itu, Saat turut menasihati orang awam khususnya pencinta haiwan untuk mematuhi undang-undang yang ditetapkan sekiranya mahu memelihara atau menjual haiwan.

“Kita tidak halang minat pencinta haiwan, cuma kita mahu mereka ikut syarat yang ditetapkan agar tidak dikenakan tindakan undang-undang.

“Pembeli perlu cakna berhubung  haiwan yang mereka miliki itu sama ada perlu lesen atau tidak.

Beberapa ular sawa jenis Ball python turut dirampas.

“Selalunya pemilik kedai haiwan yang sah akan menasihati pembeli berhubung syarat-syarat yang perlu sebelum mereka memiliki haiwan itu berbanding beli di pasaran gelap yang mengundang pelbagai risiko,” ujar Saat. – MalaysiaGazette