Pelakon, Putra Amaris yang merupakan ahli PriVo MySetiawangsa memberikan sumbangan minyak petrol percuma kepada Riders dan Frontliner di Stesen Minyak Petron Sri Rampai, Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHMAD, 23 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Hampir 500 penunggang motosikal dalam kalangan penghantar makanan dan petugas barisan hadapan menerima sumbangan petrol percuma di Stesen Minyak Petron Sri Rampai hari ini.

Program tersebut dianjurkan Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa (MySetiawangsa) sebagai menghargai sumbangan golongan itu sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah merangkap Presiden MySetiawangsa berkata, usaha golongan sasar itu wajar dihargai setelah mereka berkorban waktu dan tenaga demi kesejahteraan rakyat.

Ahli MySetiawangsa membantu melancarkan program sumbangan minyak petrol percuma kepada Riders dan Frontliners di Stesen Minyak Petron Sri Rampai, Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHAMAD, 23 SEPTEMBER 2021.

“Pada waktu kita lapar di rumah, mereka datang bantu kita. Kita masih tidur, barisan hadapan inilah yang jaga sekatan jalan raya dan pantau prosedur operasi standard (SOP) demi kita semua”, ujarnya dalam sidang media selepas melancarkan Program Petrol Percuma Food Riders dan Frontliners itu.

Menurut Mohd Irwan, sumbangan petrol percuma hari ini merupakan pemberian siri keempat bagi MySetiawangsa.

Hadir sama, Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa, Datuk Sri Izuin Ishak termasuk pelakon terkenal, Putra Amaris.

Amaris pula berkata, beliau turut serta untuk program itu sebagai mewakili kumpulan artis atas tanda sokongan buat barisan hadapan.

“Semoga lebih ramai golongan selebriti yang boleh buat program seperti ini sebagai sokongan buat barisan hadapan,” katanya.

Amaris dalam sidang media memberitahu, program seterusnya adalah menyantuni 100 artis-artis veteran yang akan dijalankan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette