Konsep mini studio yang dilakukan Tetatai Bridal Eco Event memberi ruang kepada pasangan pengantin mengabadikan detik indah bersanding di atas pelamin.

JOHOR BAHRU – Lebih 80 peratus perniagaan butik perkahwi­­nan kini tinggal nyawa-nyawa ikan sejak Perintah Kawalan Per­gerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Majoriti pengusaha tidak nam­pak jalan keluar untuk meneruskan perniagaan, malah ter­paksa memilih untuk menggulung perniagaan dan menceburi bidang lain demi kelangsungan hidup.
Namun bagi Pengusaha Butik Andaman Che Teratai, Che Teratai Che Mat Zain, dia tidak berdiam diri, sebaliknya mengambil pendekatan mewujudkan mini studio pelamin bagi membolehkan pasangan mempelai mengabadikan kenangan bergambar bersama keluarga terdekat.
Che Teratai.
“Saya tiada pilihan lain, walaupun sebenarnya pulangan yang saya terima tidak semewah atau kurang berbaloi, saya perlu lakukan sesuatu supaya setidak-tidaknya ada pendapatan.
 
“Duit yang dapat atas inisiatif ini pun hanya boleh menampung sewa bil api dan air dan ada masa boleh bantu menampung sewa kedai.
 
“Macam kami di Tetatai Bridal Eco Event kita tetapkan masa setengah jam sesi bergambar untuk keluarga perempuan dan setengah jam lagi untuk sesi keluarga lelaki dan tidak boleh melebihi 10 orang,” katanya ketika ditemui di Permas Jaya, di sini.
Katanya, sejak penganjuran majlis perkahwinan tidak dibenarkan hampir 70 hingga 80 peratus pendapatan syarikat terjejas.
 
Malah, Che Teratai mewakili suara pengusaha butik pengantin turut mengharapkan kerajaan memberi kelonggaran seperti sebelum ini dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
 
“Saya rasa kami pengusaha bukit pengantin seperti dilupakan. JB (Johor Bahru) masuk fasa 2, saya merayu kerajaan pandanglah kami dengan benarkan majlis perkahwinan diadakan dengan SOP tertentu.
“Nak tetapkan SOP lebih ketat sekali pun kami sanggup dan akan patuh, asalkan kami boleh bangun semula.
 
“Jangan pinggirkan dan lupa akan kami pengusaha pengantin, kerana sudah terlalu lama kami terbeban dengan masalah ini, ” kata beliau.
Che Teratai berkata, untuk tahun ini sehingga Ogos lalu, syarikatnya hanya mampu memperoleh tidak kurang 10 pasangan pengantin yang menggunakan perkhidmatan mini studio untuk pengambaran mereka.

“Jumlah itu sememangnya terlalu kecil. Bukan tidak bersyukur tetapi tolonglah faham dan kasihankan kami. 

“Saya rasa saya dan pengusaha lain telah berusaha lakukan pelbagai pemasaran untuk kurangkan beban, tetapi secara jujur kami ‘sakit’ sebenarnya,” katanya.
 
Perusahaan yang dilihat semakin ‘nazak’ ini, jelasnya, antara perniagaan yang kurang mendapat perhatian kerajaan.
 
Sementara itu, bagi mempelai Nifarahin Rahman, 28, dan pasangannya Zarif Awadi, 36, menyifatkan usaha yang dilakukan Teratai Bridal Eco Event memberi peluang kepada pasangan pengantin menyimpan memori detik perkahwinan bersama pasangan masing-masing.
“Saya rasa usaha dilakukan ini sekurangnya buatkan pengantin seperti saya dapat merasa detik bahagia bersanding di pelamin walaupun tidak diraikan.
 
“Dengan ada perkara sebegini adalah kenangan kita dengan keluarga terdekat terutama bapa, ibu dan adik beradik di atas pelamin,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast