Rodzi Md. Saad

KUALA LUMPUR – Selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi melibatkan satu di Sabah dan dua di Pahang.

Menurut Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad, PKPD itu ditetapkan selama dua minggu milai 25 September hingga 8 Oktober ini.

Kata beliau, tiga lokaliti itu ialah Kampung Pangkalan Abai di Kota Belud, Sabah dan Kampung Telimau, Pos Terisu dalam Mukim Telom di Cameron Highlands serta PASDEC Damansara, di Kuantan, Pahang.

“Setelah meneliti pembentangan oleh KKM mengenai situasi semasa, PKPD akan ditamatkan di beberapa lokaliti di Sabah, Pahang dan Terengganu mulai esok, 24 September 2021,” katanya menerusi hantaran Facebook Majlis Keselamatan Negara, hari ini.

Rodzi berkata, lokaliti yang ditamatkan PKPD itu ialah dua di Ranau iaitu Kampung Lembah Permai dan Kampung Desa Aman, diikuti Sekolah Henry Gurney, di Keningau; Taman Sungai Labuk di Beluran; dan Kampung Timug di Mantunggong, Kudat, Sabah.

Di Pahang pula, Kampung Kuala Koyan dalam Mukim Ulu Jelai, Lipis, manakala di Terengganu melibatkan tujuh lokaliti, iaitu Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas di Paka, Dungun. – MalaysiaGazette