Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias bercakap di sidang media khas JSPT ketika di Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis mencadangkan kepada kerajaan supaya menghadkan pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) kepada golongan warga emas.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu mengkaji semula pengeluaran LKM kepada golongan terbabit dengan meletakkan syarat atau had tertentu.

“Dalam kes-kes yang memandu secara melawan arus juga kita lihat ada melibatkan warga emas yang kita boleh katakan berusia di antara 70 hingga 75 tahun yang masih memandu.

“Justeru saya menyeru kepada kerajaan terutamanya MOT untuk kaji semula pengeluaran LKM, mereka warga emas ini perlu diberi (lesen) dalam keadaan tertentu sahaja.

“Cuba cari satu pendekatan khas supaya dapat elakkan sebarang insiden tidak diingini, mungkin kerana seorang individu (warga emas) ini maka melayang nyawa orang lain,” katanya menerusi satu sidang media khas JSPT di Menara 1, Bukit Aman hari ini.

Dalam pada itu, Azisman turut mencadangkan supaya pembaharuan LKM bagi golongan warga emas perlu disertakan bersama dengan laporan kesihatan daripada doktor.

Jelas beliau, laporan yang dikepilkan bersama-sama itu mungkin boleh diguna pakai sebagai panduan dalam mengeluarkan atau memperbaharui LKM.

“Sebagai contoh warga emas yang perbaharui LKM terus dapat lima tahun, kalau umurnya 70 sampai lah 75 tahun masih lagi memandu.

“Sebab itu kalau boleh sertakan sekali dengan laporan doktor yang mengesahkan individu ini ‘fit’ untuk memandu kenderaan iaitu penglihatan mereka masih jelas, fizikal sihat dan masih ‘alert’ kerana kalau memandu ini kita tidak boleh berkhayal.

“Kalau boleh beri dalam masa jangka pendek sama ada enam bulan atau setahun sahaja, elak beri sama macam orang lain atau orang muda. Tapi saya tahu sesetengah orang pasti tidak setuju dengan cadangan ini kerana mungkin akan menyusahkan banyak pihak tapi kita (polis) pula melihat kepada bahaya terhadap pemandu lain di atas jalan raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette