Gambar hiasan

BRUSSLES – Kesatuan Eropah (EU) bakal menguatkuasakan peraturan penggunaan pengecas universal untuk telefon pintar sekali gus menjejaskan Apple terutama kabel iPhone yang digunakan dengan meluas.

Suruhanjaya Eropah (EC) percaya kabel standard USB-C untuk semua gajet akan mengurangkan sisa elektronik, namun Apple berpandangan pengecas universal akan menjejaskan inovasi dan mencetus lebih banyak pencemaran.

Menurut EC, pengeluar telefon pintar akan diberi tempoh 24 bulan bagi beralih kepada pengecas universal.

EU adalah pasaran yang luas dengan 450 juta penduduk dan pelaksanaan peraturan itu bakal mencetus kesan besar terhadap pasaran telefon pintar global.

Naib Presiden Eksekutif EU, Margrethe Vestager, berkata pengguna Eropah sudah lama kecewa dengan pelbagai jenis pengecas yang memenuhi kediaman mereka.

“Kami memberi tempoh masa yang lama kepada industri untuk mencari penyelesaian dan kini tiba masanya untuk penggubalan undang-undang berkaitan pengecas am,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketika ini, pengguna terpaksa menggunakan tiga jenis pengecas berbeza untuk telefon bimbit, iaitu pengecas pantas untuk Apple, USB mikro untuk kebanyakan telefon bimbit dan USB-C yang semakin kerap digunakan.

EU menegaskan, pengguna Eropah kini membelanjakan kira-kira 2.4 bilion euro (RM11.7 bilion) setahun untuk pengecas, tidak termasuk gajet elektronik.

Apple yang sudah mula menggunakan penyambung USB-C untuk beberapa iPad dan komputer riba, menyifatkan perundangan memaksa penggunaan pengecas universal untuk semua jenis telefon bimbit di EU sebagai tidak wajar. – MalaysiaGazette