KUALA LUMPUR – Sebuah kelab dari Liga M3, Langkawi City FC telah menjalinkan kerjasama dengan kelab bola sepak gergasi Jerman, Borussia Dortmund menerusi perjanjian selama dua  tahun.

Perjanjian tersebut bakal melibatkan program pembangunan akar umbi dan pemain muda Langkawi City FC.

Bukan itu sahaja, para pemain Langkawi City FC turut berpeluang untuk berlatih serta menimba ilmu di Dortmund.

Dortmund merupakan antara kelab yang terkenal dalam melatih dan melahirkan pemain-pemain muda.

Antara produk akademi Dortmund ialah Antonio Rüdiger, Kerem Demirbay, Mario Götze, Marco Reus dan Nuri Şahin.

Manakala pemain-pemain muda seperti Christian Pulisic, Jadon Sancho, Ousmane Dembele, Jude Bellingham dan Erling Haaland pula antara pemain yang berjaya dikembangkan bakat mereka di bawah pengurusan Dortmund.

Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund iaitu Carsten Cramer berkata, bola sepak menjadi semakin popular di seluruh dunia termasuk Asia dan kami gembira untuk bekerjasama dengan Langkawi City.

“Pertukaran ilmu dan sokongan berterusan untuk pembangunan akar umbi di Langkawi dan Malaysia menjadi fokus utama jalinan kerjasama ini.

Ini adalah satu perkara positif terhadap Langkawi City dalam memajukan kelab tersebut dan menjadi jenama bola sepak terkenal.

“Malah perancangan yang luar biasa ini wajar dipuji kerana kerjasama ini melibatkan kelab Borussia Dortmund yang terkenal dengan kepakaran melatih pemain muda,” kata Langkawi City FC dalam satu kenyataan.

Penaung Langkawi City FC, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengucapkan tahniah atas jalinan kerjasama tersebut. – MalaysiaGazette