PAGOH – Kerajaan Malaysia dan Singapura akan mengiktiraf sijil vaksinasi masing-masing bagi memudahkan pergerakan sempadan kedua-kedua negara dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah berhubung dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Dengan keadaan Covid-19 dan kadar vaksinasi di Malaysia dan Singapura yang masih belum selesai mungkin beliau agak berhati-hati.

“Malaysia juga mahu ke Singapura kerana hubungan kedua-dua buah negara ini begitu rapat termasuk urusan perniagaan pada setiap hari dan apabila sempadan negara tidak dapat dibuka lagi ia menjadi masalah besar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Bersama Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini, hari ini.

Menurut Muhyiddin, apabila sijil vaksinasi Malaysia dan sijil vaksinasi Singapura diiktiraf, ini akan memungkinkan pergerakan ke negara lain seperti Thailand pada masa depan.

“Dalam mana-mana peringkat mesyuarat kita akan bincang bila waktu sempadan negara kita bila boleh dibuka kepada pelancong luar negara mahupun rakyat kita sendiri.

“Kita akan teliti daripada data dan sains serta pandangan daripada pakar-pakar termasuk diperingkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta soal keselamatan sempadan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya. – MalaysiaGazette