Tarik Boy (kiri) dan Suren (kanan) diburu polis terlibat pevah masuk hostel

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua suspek yang dipercayai terlibat pecah masuk sebuah hostel dan melarikan pelbagai barangan bernilai RM13,000, di Sentosa Utama, Jalan Sungai Jati, Klang, semalam.

Ketua Polis Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berlaku pada jam 5.28 pagi.

“Kedua-dua suspek dikenali K. Surendan atau ‘Suren’, 26, beralamat di Taman Sentosa Utama, Klang dan R. Narayanasamy, 36, sebagai ‘Tarik Boy’ dengan alamat terakhir di Taman Kim Chuan, Pelabuhan Klang.

“Semakan mendapati kedua-duanya mempunyai empat hingga 11 rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat risikan, polis berjaya menahan seorang suspek berusia 34 tahun kira-kira pukul 11 malam hari sama di sekitar daerah ini.

Hasil siasatan dijalankan, suspek mengaku telah melakukan jenayah tersebut bersama dua rakannya yang sedang diburu polis.

“Kedua-dua suspek berjaya melarikan beberapa barangan milik mangsa seperti tiga rantai leher, dua gelang tangan dan empat cincin, wang tunai RM3,000 dan dompet mengandungi kad pengenalan, kad bank dan lesen memandu dengan nilai keseluruhan kerugian dianggarkan RM13,000,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 21 saat menerusi aplikasi Tik Tok yang memaparkan dua lelaki dipercayai sedang melakukan jenayah pecah hostel.

Shamsul Amar menambah, suspek yang ditangkap kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Zamrus Zakaria di talian 019-6892777 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan menerusi talian 03-33762222 atau mana- mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette