Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias selepas bercakap di sidang media khas JSPT ketika di Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias akan bersara wajib berkuat kuasa Selasa depan.

Menerusi sidang media khas di Bukit Aman hari ini, Azisman memaklumkan majlis serah terima tugas kepada Pengarah JSPT baharu dan paluan berundur sempena persaraannya akan diadakan pada hari yang sama.

Jelas Azisman yang dilantik sebagai Pengarah JSPT sejak 11 Oktober 2018 itu, beliau berpuas hati dengan pencapaian jabatan tersebut sepanjang mengemudikannya selama hampir tiga tahun.

“Saya mula melaporkan diri sebagai Pengarah JSPT pada Oktober 2018 dan saya berpuas hati di atas pencapaian JSPT dalam masa hampir tiga tahun ini kerana dari segi statistik petunjuk prestasi utama (KPI) jabatan adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan maut dan lain-lain,” katanya.

Azisman dilahirkan pada 29 September 1961 di Singapura dan kemudiannya dibesarkan di Johor Bahru, Johor.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana (Sains Kepolisan) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga memiliki Diploma Lanjutan (Pengajian Strategi Pertahanan) Universiti Malaya (UM) serta Diploma Armed Forces Staff College dengan kerjasama Maktab Pertahanan Angkatan Tentera.

Anak kedua dari lima adik-beradik ini memulakan kariernya dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor polis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur pada 5 Januari 1986.

Setelah tamat latihan asas kepolisan, Azisman ditugaskan di Cawangan Khas (E2) Bukit Aman sebelum bertukar ke Cawangan Khas (E5) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah sehingga tahun 1994.

Untuk rekod, antara jawatan yang pernah digalas oleh Azisman termasuklah ADC kepada Timbalan Ketua Polis Negara (1994-1997), Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam (2004), Ketua Polis Daerah Ipoh (2007-2012), Ketua Polis Daerah Shah Alam (2014-2015), Ketua Penolong Pengarah D4 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (2015), SAC Pentadbiran Jabatan Pengurusan (2015-2017) dan terakhir sebagai Ketua Polis Perlis pada tahun 2017.

Selain itu, atas sumbangan dan khidmat cemerlang yang dicurahkan kepada negara, Azisman telah dikurniakan kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ oleh kerajaan negeri Pahang pada 24 Oktober 2016. – MalaysiaGazette