Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob bercakap pada sidang pembuka tirai sempena sesi debat umum oleh Malaysia Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu Ke-76 di Wisma Putra, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menggunakan platform Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-76 bagi memperkenalkan tema ‘Keluarga Malaysia’ kepada pemimpin-pemimpin dunia.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, pendekatan itu diambil Ismail Sabri untuk mengetengahkan bagaimana tema itu mampu mengurus, menangani serta memulihkan dunia daripada pandemik Covid-19.

“Semasa menyampaikan kenyataan negara, Datuk Seri Ismail Sabri akan menggariskan tema ‘Keluarga Dunia’ dan bagaimana ‘Keluarga Malaysia’ boleh bekerjasama dengan keluarga dunia untuk menangani pandemik Covid-19,” kata Muhammad Shahrul Ikram dalam sesi taklimat mengenai UNGA ke 76 yang akan diadakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Amerika Syarikat.

Untuk rekod, dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata beliau menyeru semua pihak supaya bersepakat menyelamatkan ‘Keluarga Malaysia’ kerana frasa itu sifatnya lebih inklusif.

Ucapan dalam bentuk rakaman itu akan turut menyentuh mengenai pendirian Malaysia mengenai negara Palestin, perubahan kepada PBB, matlamat pembangunan lestari dan gencatan senjata global.

“Perdana Menteri juga akan menyentuh aspek diplomasi kesihatan dan hidup bersama secara aman dalam mendalami mengenai ketidaksamaan, ketidakstabilan politik dan pemerintahan global,” jelas beliau.

Ini merupakan penampilan Ismail Sabri yang pertama sebagai  perdana menteri dalam  Perhimpunan PBB.

Selain Malaysia sebanyak 56 anggota negara lain turut menyertai debat umum UNGA Ke-76 melalui rakaman video, jelas Muhammad Shahrul Ikram.

Ditanya sama ada Malaysia akan membawa isu kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai AUKUS, Kementerian Luar berkata,  perkara itu telah dibincangkan di Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Amerika Syarikat malam tadi.

“Kita sudah menggunakan saluran-saluran yang tertentu,  selain daripada kenyataan akhbar yang dibuat perdana menteri, Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kita sudah bangkitkan dalam Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN bersama Amerika Syarikat malam tadi pada jam 11 malam.

“Jadi sebagaimana yang saya katakan tadi, secara amnya perdana menteri akan menekankan pentingya semua negara bekerjasama untuk memantapkan dan menstabilkan keselamatan dunia sejagat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette