Dalam kejadian pada 29 Januari 2019, seorang pemandu SUV terbunuh dalam kemalangan selepas kenderaannya itu terhumban dalam laut di Jambatan Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan Rabu depan untuk memutuskan sama ada M. Vaitheswaran perlu membela diri bagi pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar kolej dengan memandu secara melulu di Jambatan Pulau Pinang dua tahun lalu.

Hakim yang bertindak sebagai Majistret, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin membuat ketetapan itu selepas peguam Vaitheswaran, K. Paramanathan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya hanya menerima hujahan bertulis daripada pihak pendakwaan semalam dan tidak sempat membalasnya.

Menurut Paramanathan, pihaknya meminta mahkamah sedikit masa untuk meneliti sebelum membalas hujahan bertulis tersebut.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan hari ini sebagai hari keputusan akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 12 saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan berhubung kes tersebut.

Dua tahun lalu , Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Moey Yun Peng, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu Yun Peng di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, Vaitheswaran dikatakan memandu kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan hingga menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam laut di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala Perai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast