Reezal Merican ketika berucap pada majlis pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membina kira-kira 80,000 unit kediaman yang akan memanfaatkan kira-kira 400,000 rakyat sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perincian tersebut melibatkan 16,011 unit rumah adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR); 39,192 unit rumah (Perumahan Penjawat Awam); 10,256 unit rumah (Perumahan PR1MA) dan 15,000 unit Rumah Mesra Rakyat.

Beliau berkata, KPKT selaku pihak yang bertanggungjawab kepada hal ehwal perumahan di negara ini sentiasa memastikan agenda perumahan untuk rakyat diberi keutamaan dalam setiap hala tuju strategik negara seperti Belanjawan tahunan mahupun setiap kali RMK dibentangkan.

“Agenda perumahan adalah isu akar, isu pokok yang menjadi nadi kepada setiap rakyat Malaysia, setiap Keluarga Malaysia,” katanya ketika majlis pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia di KPKT di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disusuli majlis penyerahan kunci kepada kumpulan pertama yang terdiri daripada 100 penerima Rumah Ikram Keluarga Malaysia secara fizikal dan dalam talian.

Inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia menggunakan kediaman PPR sedia ada yang dikhususkan kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan menawarkan kadar sewa minimum RM124 sebulan bagi tempoh mendiami maksimum dua tahun.

Sebanyak 1,000 unit kediaman di kawasan PPR yang berada di bawah kawalan dan pengurusan KPKT meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor disediakan buat permulaan bagi inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia itu.

Beliau berkata, inisiatif itu merupakan pendekatan penampan terhadap kesan penularan Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lepas.

Reezal Merican berkata, KPKT akan mencadangkan kepada pihak berkuasa negeri untuk menjalankan inisiatif tersebut di negeri masing-masing.

“Kita telah menerima begitu banyak permohonan, tidak kurang juga panggilan yang bertanyakan tentang inisiatif ini,” katanya yang menyatakan inisiatif itu menjadi pemacu kepada KPKT untuk membantu rakyat yang terkesan.

Berkongsi perincian peruntukan perumahan KPKT menerusi Belanjawan 2021 pula, Reezal Merican berkata, sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk membina 14,000 unit rumah PPR, RM315 juta untuk 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat manakala RM310 juta untuk pembinaan Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia.

Selain itu, katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM125 juta untuk tujuan penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah, sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang atau rosak akibat bencana alam.

Sambil menzahirkan ucapan penghargaan kepada Ismail Sabri, beliau berkata, KPKT sedang dalam usaha meletakkan satu tanda aras yang lebih baik terhadap aspirasi Keluarga Malaysia melalui agenda ‘Liveable Malaysia’ atau Malaysia Berdaya Huni khususnya di kawasan PPR.

“Kita (KPKT) mahu PPR yang dibina bukan sahaja memberikan kediaman yang baik malah berkualiti dan memberi ‘ease of mind’ kepada penghuninya selain dilengkapi dengan infrastruktur asas serta akses internet dalam persekitaran hijau dan membina,” katanya. – MalaysiaGazette