Stacy mengakui suami , Akim Ahmad (kanan) antara insan yang banyak menjentik hatinya untuk mendekati agama Islam.

KUALA LUMPUR – Bulan lalu, genap enam tahun usia penyanyi Stacy memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Johor Bahru, Johor.

Mengimbas kembali detik bermakna itu, Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam mengakui suami tercinta, Akim Ahmad antara insan yang banyak menjentik hatinya untuk mendekati agama Islam.

Malah, kata ibu kepada dua cahaya mata bernama Bella De Luna Valentina, 8, dan Eshaal Afiq Hakim, 4, itu, pendekatan suaminya bercerita mengenai keindahan Islam cukup santai dan tidak terlalu berat.

“Dulu sebelum memeluk agama Islam, saya seperti tiada agama sebenarnya. Hidup lebih berpaksikan cara membesar, apa yang dilihat dan didengari.

“Namun selepas enam tahun berkawan dengan Akim, banyak gerak hati untuk tahu apa itu Islam banyak didoronginya. Cara dia bercerita hal agama Islam nampak ringan dan tidak terlalu ‘direct’. Pendek kata apa yang terpacul dari mulutnya membawa ke satu siri penceritaan menarik.

“Siapa sangka keakraban kami, termasuk cara saya jadi dekat dengan Islam menerusinya terus menguatkan jodoh kami. Pandai adik (merujuk kepada Akim) ambil hati kakak (Stacy). Pada 26 September 2015, kami bertunang. Seterusnya 5 Februari 2016 kami bernikah di sebuah hotel di Sabah,” kata Stacy ketika mengimbas kembali detik penghijrahan dan pernikahannya ketika menjadi tetamu program bual bicara dalam talian, Bersama Tya.

Stacy memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Johor Bahru, Johor, enam tahun lalu.

Kata penyanyi lagu Pakai Buang itu lagi kepada pengacara program berkenaan Tya Arifin, antara detik paling bermakna dikenang hingga saat ini ialah ibu bapanya juga hadir ketika dia memeluk Islam.

Bagaimanapun, jika diimbas kembali, detik berkenaan juga dicalari dengan penyebaran gambar serta video proses pengislaman Stacy tular dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya rasa momen pengislaman jadi sangat sempurna apabila ibu bapa ada di sisi merestui keputusan paling besar dilakukan anak mereka.

“Awalnya hanya ibu bapa saya saja tahu keputusan memeluk Islam ini. Tapi adik beradik lain dan saudara mara belum diberitahu lagi. Apabila viral gambar dan video itu, jadi kecoh.

“Tapi Akim suruh saya bersabar dan relaks dengan apa yang terjadi,” katanya.

Stacy tanpa berselindung berkata, hatinya bagai melalui satu episod yang cukup dasyat sebelum melafazkan dua kalimah syahadah.

“Jujur ketika itu, hati saya jadi takut sangat dengan keputusan berkenaan. Hingga saya mempersoalkan dalam diri, apakah betul keputusan yang dibuat itu.

“Saya macam berperang dengan diri sendiri. Hingga terpacul rasa apakah sampai tahap perlu meninggalkan keluarga sendiri untuk agama Islam.

“Tapi akhirnya, takdir hidup saya memilih Islam sebagai agama yang satu. Saat selesai melafazkan kalimah itu, kelihatan ibu bapa saya tersenyum dan gembira. Ketika itu saya sedar, perasaan bukan bukan itu hanya mainan emosi,” katanya.

Di akhir bicara, Stacy mengakui dia masih belajar untuk menjadi manusia yang terbaik.

“Saya masih belum sempurna. Namun, dalam hati sentiasa berusaha untuk ke arah yang lebih baik,” katanya.

Bersama Tya bersiaran secara langsung setiap Isnin, Selasa dan Rabu jam 10 malam di ‘Instagram Live’ sejak 14 Jun lalu.

Ia kemudiannya turut dikongsi di pelbagai platform termasuk di ‘feed’ Instagram dan dimuat naik di saluran YouTube Tya Arifin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast