Wan Saiful Wan Jan, menyerahkan surat tawaran Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada salah seorang pelajar di Kubang Pasu, Kedah

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus prihatin terhadap golongan pelajar yang akan memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP).

Seramai 23,487 pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam bagi kemasukan Sesi Oktober 2021 ditawarkan WPP PTPTN dengan peruntukan berjumlah lebih RM35 juta.

PTPTN telah menyediakan WPP sebanyak RM1,500 bagi seorang pelajar untuk
menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan untuk memasuki IPTA dan
memastikan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT disebabkan masalah
kewangan.

WPP ini diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah membuat persetujuan menerima WPP semasa memohon UPU Online atau pun melalui portal kemasukan IPTA dan ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh PTPTN.

Tempoh sah laku WPP adalah selama dua (2) bulan bermula 24 September 2021
hingga 23 November 2021. Pelajar-pelajar boleh menunaikan WPP ini di mana-mana
cawangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 24 September
2021 dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar itu sendiri (wakil
adalah tidak dibenarkan). Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP mulai 27
September 2021 melalui portal rasmi PTPTN.

PTPTN menyantuni tiga pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah ke
rumah pelajar berkenaan di kawasan Kubang Pasu dengan menyerahkan surat tawaran
WPP berjumlah RM1,500 kepada setiap seorang pelajar pada hari ini.

Penyerahan WPP telah disempurnakan oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN.

Beliau berkata, sejak WPP ini diperkenalkan pada tahun 1999 dan sehingga
31 Julai 2021, seramai 942,025 pelajar telah menerima WPP dengan peruntukan
keseluruhan berjumlah RM1.39 bilion.

Pada sesi kemasukan Oktober 2021 ini, seramai 23,487 pelajar telah disediakan WPP di seluruh Malaysia.

Manakala bagi Negeri Kedah adalah seramai 2,343 orang pelajar dengan peruntukan berjumlah RM3.5 juta.

Bagi kawasan Kubang Pasu pula, seramai 166 pelajar telah disediakan WPP yang melibatkan peruntukan berjumlah RM249,000. Inilah bukti bahawa PTPTN memainkan peranan amat penting dalam membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan
pengajian ke IPTA.

“Tahniah dan syabas kepada semua pelajar kerana berjaya melangkah ke
menara gading. WPP PTPTN yang diterima oleh para pelajar ini haruslah digunakan
dengan sebaik mungkin. Tunjukkanlah rasa syukur dan terima kasih dengan belajar
bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara,” ujarnya
lagi.

Para pelajar boleh mula membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui Portal PTPTN mulai 1 September 2021 hingga 30 September 2021 bagi kelompok pertama atau mulai 1 Oktober 2021 hingga 31 Oktober 2021 bagi kelompok kedua untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sebagaimana sepatutnya.

Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPTA masingmasing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan pinjaman dan WPP PTPTN juga boleh diperoleh melalui
portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my. – MalaysiaGazette