Mahmoud Abbas ketika berucap di sesi ke-76 Perhimpunan PBB di New York. foto Reuters

NEW YORK – Presiden Palestin Mahmoud Abbas menetapkan setahun lagi untuk Israel menamatkan pendudukannya di wilayah Palestin.

“Israel, kekuatan penjajah, memiliki satu tahun untuk menarik diri dari wilayah Palestin yang didudukinya pada tahun 1967, termasuk Baitulmuqaddis Timur,” katanya dalam Perhimpunan Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambah Abbas: “Kami sudah bersiap sedia untuk bekerja sepanjang tahun ini untuk menetapkan semula sempadan dan menyelesaikan semua masalah status akhir di bawah naungan Kuartet Antarabangsa dan sejajar dengan resolusi PBB”.

Abbas turut mengancam untuk menarik balik pengiktirafan negara Israel.

“Jika ini tidak dicapai, mengapa mempertahankan pengakuan Israel berdasarkan sempadan 1967? Mengapa mempertahankan pengakuan ini?” tegas beliau.

Lebih-lebih lagi dalam hal ini, Palestin akan pergi ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai masalah perundangan pendudukan tanah Palestin dan kewajiban yang relevan untuk PBB dan negara-negara di seluruh dunia dalam isu ini.

Malah, katanya, semua pihak nanti harus menghormati kesimpulan mahkamah.

Tegas Abbas lagi, sokongan masyarakat antarabangsa untuk inisiatif ini, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB, dapat menyelamatkan wilayah ini dari nasib yang tidak boleh diramalkan.

“Kita semua memiliki kesempatan yang untuk hidup dalam kedamaian dan keselamatan, mempunyai hubungan baik antara jiran, di dalam negara sendiri.

“Dan menunda pelaksanaan langkah-langkah ini akan menjadikan wilayah ini dalam keadaan pergolakan dan ketidakstabilan dengan akibat yang buruk,” ujar beliau lagi.

Dalam ucapannya yang bersemangat, Abbas mempersoalkan: “Adakah pemimpin Israel bermimpi untuk mempertahankan penjajahan mereka selama-lamanya? Adakah mereka mahu penjajahan ini kekal selamanya? Mengapa seorang Palestin harus terus hidup sama ada di bawah penjajahan rasis Israel atau sebagai pelarian di negara-negara jiran? Tidak ada alternatif lain – kebebasan, sebagai contoh?”.

Tegas beliau, rakyat Palestin kreatif dan dinamik dan seluruh dunia dapat membuktikannya.

Oleh itu, rakyat Palestin berhak hidup bebas di tanah air, katanya.

“Dari podium ini (Perhimpunan Agung PBB), saya menyeru putera-puteri Palestin yang berada di mana-mana di seluruh dunia untuk terus memperjuangkan kedamaian bagi menunjukkan gambaran sebenar orang-orang Palestin yang gagah berani berjuang untuk kebebasan dan kemerdekaan dengan menentang penjajahan dan apartheid,” tambah Abbas.

Abbas turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat antarabangsa atas sokongan politik dan material kepada rakyat Palestin dan untuk membina institusi Palestin dan ekonomi negara.

“Saya katakan kepada para pemimpin Israel: jangan menindas dan rakyat Palestin dan menjatuhkan martabat dan hak mereka di tanah air mereka kerana anda akan menghancurkan segalanya. Kesabaran kami dan kesabaran rakyat kita mempunyai had.

”Saya mengulangi sekali lagi bahawa rakyat Palestin akan mempertahankan kewujudan dan identiti mereka dan tidak akan berlutut atau menyerah, mereka tidak akan meninggalkan dan akan tetap berada di tanah air mereka, mempertahankannya, membela nasib mereka dan meneruskan perjalanan besar mereka untuk mengakhiri pendudukan,” tegas Abbas.

“Kami mengatakan sekali lagi: ini adalah tanah kami, Baitulmaqdis kami, identiti Palestin kami, dan kami akan mempertahankannya sehingga penjajahan pergi, kerana masa depan adalah milik kami dan anda tidak boleh menuntut keamanan dan keselamatan untuk diri anda sendiri,” jelas beliau lagi. – Xinhua

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast