KUALA LUMPUR – Pengoperasian sekolah di Pulau Langkawi adalah mengikut ketetapan negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana pulau itu merupakan kawasan gelembung pelancongan.

Justeru itu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, semua sekolah di pulau itu akan dibuka untuk persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober ini.

“Secara umumnya, saya dapati sekolah-sekolah ini telah bersedia untuk menerima kehadiran murid apabila dibuka kelak, kecuali beberapa aspek yang perlu ditambahbaik, khususnya dalam konteks pengudaraan di bilik-bilik darjah dan bilik-bilik khas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Senator Dewan Negara itu hari ini turun ke Langkawi untuk meninjau persiapan dan persediaan sekolah di pulau itu.

Untuk rekod, terdapat sebuah sekolah menengah dan tiga buah sekolah rendah di Pulau Tuba.

Sekolah Menengah Langkawi Pulau Tuba merupakan sekolah asrama harian dengan 203 murid turut dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi program vaksinasi remaja di pulau peranginan itu.

KPM sebelum ini berkata, pembelajaran bersemuka mulai 3 Oktober ini, dibuat secara berperingkat mengikut fasa dalam PPN.

Dalam Fasa 1 (PPN), tidak ada sekolah yang akan dibuka di negeri Fasa 1.

Negeri Fasa 2 (PPN) pula, bagi sekolah rendah, hanya murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang akan hadir ke sekolah.

Bagi sekolah menengah, dalam Fasa 2 (PPN), yang akan ke sekolah pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua kerana mereka akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober.

Bagi negeri Fasa 3, selain SKPK dan PPKI, murid prasekolah akan dibenarkan hadir ke sekolah, manakala untuk sekolah menengah pula, ia membabitkan pelajar Tingkatan 5 dan calon STPM yang lain.

Fasa 4 (PPN), sesi persekolahan digilirkan iaitu dua minggu pertama daripada 3 hingga 17 Oktober, yang akan berada di sekolah seperti Fasa 3 dan dari 17 hingga 31 Oktober untuk sekolah rendah. – MalaysiaGazette