Foto media sosial Azizulhasni Awang.

KUALA LUMPUR –  Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang akhirnya pulang ke pangkuan keluarganya di Melbourne, Australia selepas empat bulan berjauhan demi perjuangan memburu pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020,

Kepulangan pemenang pingat perak acara keirin Olimpik Tokyo itu disambut penuh gembira dan kesyukuran terutama anak bungsunya Amna Khadeeja yang menyambut hari jadi keenam pada 15 September lalu dalam tangisan tanpa Azizul yang dipanggil Abi di sisinya.

“Syukur Alhamdulillah,Selepas 16 minggu meninggalkan anak-anak dan isteri, akhirnya sirih pulang ke gagang.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih semua dan saya sangat bersyukur kerana pelbagai pengalaman pahit dan manis yang saya dapati sepanjang berada di tanah air.

“Yang manis itu akan saya jadikan memori terindah dan yang pahit pula sudah tentu dijadikan sebagai pengajaran. At the end of the day, there are always two sides to every story and no one is perfect, so judge less and love more.

“Tak sabar rasanya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami untuk membantu proses kehamilan isteri saya dan juga tanggungjawab saya sebagai professional baby sitter (seperti yang korang jawab dalam kuiz tempoh hari tu) serta kembali kepada rutin asal saya sebagai pembalap sepeda.

“Sekali lagi saya ingin memohon maaf jika ada salah dan silap dari saya hamba Allah manusia biasa ni dan jika saya boleh kongsikan rumusan untuk perjalanan saya selama 16 minggu ini adalah sesuatu kejayaan itu datangnya dengan sebuah pengorbanan,” tulisnya di Facebook miliknya.

Menerusi Insta Story di Instagram miliknya pula, Khadeeja atau KD yang membuka pintu terus memeluk bapanya untuk melepaskan kerinduan lalu membawa Azizul ke ruang tamu yang dihiasi dengan perkataan congratulations (tahniah) berwarna merah jambu.

Kemudian pelumba bergelar ‘The Pocket Rocketman’ itu dilihat mengalungkan pingat perak yang dibawanya di leher isterinya Datin Athiah Ilyana Abd Samat yang sedang hamil anak ketiga.

Anak sulung pasangan itu Amna Maryam turut kelihatan terlalu gembira dengan kepulangan bapanya.

Azizul, 33, yang bertanding kali pertama pada temasya Sukan Olimpik Beijing 2008, meraih pingat gangsa pada temasya Rio 2016 sebelum muncul juara dunia keirin di Hong Kong pada tahun berikutnya.

Kegagalan meraih emas di Tokyo menyebabkan pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu berazam untuk menebus kekecewaannya pada temasya Olimpik Paris 2024 tiga tahun lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast