KOTA BHARU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendakwa seorang buruh yang bertindak menggigit telinga suami mangsa samun baru-baru.

Tertuduh, Abdul Aziz Abd. Rahman melakukan perbuatan itu ketika cubaan meragut beg tangan wanita (mangsa).

Abdul Aziz kemudian mengaku bersalah ketika pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja merompak seorang wanita berusia 30 tahun sehingga menyebabkan ketakutan kepada mangsa di persimpangan Kedai Piah, Kampung Binjai, Batu 11, Ketereh kira-kira pukul 5.45 pagi pada 19 September lalu.

Abdul Aziz didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana telah melakukan kesalahan serius.

“Mangsa dan suaminya mengalami kecederaan dalam kejadian itu. Sekiranya jaminan dibenarkan, perkara ini dikhuatiri menimbulkan kebimbangan kepada orang awam,” katanya seperti laporan media.

Hakim Ahmad Bazli juga tidak membenarkan  tertuduh diikat jamin selain menetapkan tarikh 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.

Media melaporkan minggu lepas seorang lelaki bertindak merempuh motosikal yang ditunggang pera­gut berjaya menyelamatkan beg iste­rinya daripada dilarikan suspek dalam kejadian pada minggu lalu.

Mangsa, Mohd. Hanif Hilmi cedera di telinga selepas bergelut dengan suspek yang cuba me­ragut beg milik isterinya ketika wanita yang merupakan seorang pembantu perubatan itu baru tu­run daripada bas ekspres. -MalaysiaGazette