Covid-19 cases
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 lagi kluster baharu membabitkan kluster tempat kerja dan komuniti telah dikenal pasti dalam perkembangan terkini pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini sekaligus menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 1,185 kluster.

“Kluster tempat kerja yang dilaporkan adalah di Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan manakala kategori komuniti pula di Kelantan, Pahang, Sarawak dan Perak,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 20,971 pesakit pulih dalam tempoh 24 jam lalu.

“Ini menjadikan keseluruhan jangkitan meningkat kepada 2,198,235 kes setakat ini, dengan 1,989,512 daripadanya kes sembuh.

“Seramai 1,058 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi, dengan 850 daripadanya disahkan positif Covid-19 dan 208 kes masih dalam siasatan.

“Manakala 580 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, dengan 365 daripadanya positif Covid-19 dan baki 215 orang disyaki dijangkiti virus itu,” ujarnya.

Noor Hisham juga berkata, sebanyak 201 kes atau 1.5 peratus adalah Kategori 3 hingga 5, manakala 12,903 kes atau 98.5 peratus lagi dalam Kategori 1 dan 2.

Sarawak terus mencatatkan jangkitan harian tertinggi dengan 2,943 kes.

Ia diikuti Selangor dengan 1,558 kes, Johor (1,455), Kelantan (1,206), Sabah (1,078), Perak (994), Pulau Pinang (955), Kedah (721), Terengganu (685), Pahang (604), Melaka (362), Kuala Lumpur (270), Negeri Sembilan (165), Perlis (80), Putrajaya (24) dan Labuan (4).

Jelas beliau daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak lapan ialah kes import dan baki 13,096 kes penularan tempatan yang membabitkan 11,892 warganegara serta 1,204 warga asing.

“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 negara ialah 0.91 setakat semalam,” tegasnya. -MalaysiaGazette