Independent Islamic Preacher Firdaus Wong Wai Hung. sumpah laknat video clip sexual assault
Firdaus Wong Wai Hung.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung bersumpah tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan seorang pendakwah yang kini disiasat berhubung kes video dan mesej lucah.

Beliau yang juga pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslim (MRM) menegaskan, tiada perasaan hasad dengki atau dendam  terhadap pendakwah tersebut.

“Saya boleh berkata wallahi (demi Allah) bahawa apa yang dilakukan ini adalah apabila mangsa datang kepada kami. Bukan kami mencari aib, tetapi mangsa berkongsi kepada kami untuk mencari kekuatan.

“Mereka dihina dan dikritik oleh netizen dan mereka tampil mencari kekuatan,” katanya dalam satu temuramah yang disiarkan secara langsung menerusi Youtube hari ini.

Firdaus  pernah memuji pendakwah terbabit pada Januari 2019 ekoran kerja-kerja kebajikan yang individu itu lakukan, malah tidak pernah mengkritiknya.

Malah menurutnya, beliau secara peribadi tidak mengenali pendakwah berkenaan dan hanya mengenalinya menerusi gerak kerjanya yang ditampilkan di media sosial.

Bagaimanapun, katanya, sebagai muslim Allah menyuruh umatnya bersikap adil, melaksanakan amal maaruf nahi mungkar dan membantu mangsa yang dizalimi.

Justeru, katanya, mereka yang menuduh beliau memiliki hasad dengki terhadap pendakwah terbabit tidak mengikuti perkembangan MRM yang ditubuhkan sejak lebih tujuh tahun lalu.

Katanya, sepanjang tempoh itu NGO tersebut telah banyak melakukan pendedahan demi pendedahan daripada isu pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sehingga kepada kultus ajaran sesat. – MalaysiaGazette